Banjir: Penduduk sumbang hasil jala ikan kepada PPS
BATU PAHAT - Di sebalik banjir yang melanda, penduduk di Parit Yaani tidak melepaskan peluang menjala ikan sungai di Sungai Terusan di Jalan Yong Peng-Muar di sini untuk disumbangkan kepada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Mohd Noor Omar, 53, seorang peniaga berkata, sejak jam 7 pagi tadi, dia bersama dua rakannya mula menjalankan aktiviti menjala dengan hasil tangkapan akan diserahkan kepada pihak pengurusan PPS berhampiran untuk dijadikan lauk untuk juadah mereka.
"Saya memang minat menjala ikan di sungai, hasil tangkapan bukanlah untuk diri sendiri. Tetapi akan disedekahkan kepada rakan-rakan dan apabila musim tengkujuh begini, ikan sungai memang mudah diperoleh. Kali ini saya akan menyumbangkan hasil kepada mangsa di PPS berdekatan.
"Ikan sungai yang saya dapat setakat ini antaranya patin, keli, sepat siam dan sepat ronggeng dengan anggaran berat kesemua ikan hampir 10 kilogram, dan akan diserahkan kepada PPS Dewan Orang Ramai Parit Yaani,” katanya ketika ditemui sedang menjala ikan di Sungai Terusan di sini pada Ahad.
Mohd Noor berkata, banjir yang melanda di Parit Yaani kali ini merupakan situasi paling buruk berlaku sejak 17 tahun lepas.
Setakat jam 12 tengah hari tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan daerah Batu Pahat kini paling teruk terjejas, menyaksikan 15,915 orang daripada 4,616 keluarga telah dipindahkan ke 62 PPS.Sementara itu, seorang penduduk di Lorong Serai, Parit Yaani, Kamariah Saiman, 56, berkata, dia tidak menyangka hujan berterusan sejak Rabu lepas, telah menenggelamkan rumahnya hingga ke paras pinggang sehingga menyebabkan perabot dan peralatan elektrik di dalam rumah rosak.
"Buat masa ini sudah dua malam saya duduk di rumah anak di Bandar Putera Indah di sini, sekarang balik ke rumah sekejap sebab ada jiran maklumkan barangan seperti perabot di luar rumah telahpun dihanyutkan banjir.
"Baju dalam almari juga sudah berselerak, kerana almari sudah tumbang, tetapi sempatlah saya mencapai beberapa helai kain batik dan baju, untuk dibawa ke rumah anak nanti,” katanya yang telah tinggal di Parit Yaani lebih 50 tahun.
Kamariah berkata, kawasan rumahnya pernah ditenggelami banjir sehingga paras buku lali pada 2006, dan tidak pernah seteruk seperti yang berlaku pada tahun ini.
Tinjauan Bernama mendapati laluan jalan raya ke Seri Medan di sini dari Pekan Yong Peng, mula dinaiki air dengan jalan tertentu hanya dibenarkan dilalui kenderaan berat sahaja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!