'Kami dah penat tunggu air' - Penduduk
SUNGAI PETANI - Kira-kira 600 penduduk Fasa 2A Taman Universiti Jaya dekat Semeling di sini mengeluh kerana sudah penat 'menunggu' bekalan air yang sering terputus tidak kira musim hujan atau kemarau, sejak Februari lalu.
Norkamarulzitah Osman, 42, mendakwa, gangguan itu mula berlaku sejak kira-kira dua tahun kebelakangan ini dan semakin meruncing sebulan lalu.
Menurutnya, keadaan semakin teruk ketika musim cuti sekolah bermula kerana anak-anak akan berkumpul termasuk yang tinggal di asrama pulang bercuti.
"Suri rumah paling terkesan kerana banyak kerja tergendala sehingga nak tidur pun fikirkan air.
"Paip memang tak tutup sebab bila dengar bunyi air cepat-cepat bangun walaupun tengah tidur, sebab nak tadah air," katanya.
Jelasnya, perkara itu sudah diajukan kepada pihak berkaitan namun dimaklumkan bahawa bekalan air keruh selepas musim hujan menyebabkan ia tidak dapat diagihkan kepada pengguna.
Bagaimanapun, Norkamarulzitah memberitahu, masalah sama turut berlaku pada waktu kemarau.
Bagi Noor Amalina Johari, 38, pula, isu air yang dihadapi turut memberi kesan terhadap persekolahan anak-anak.
"Bila sering terputus bekalan, anak-anak sudah tidak bersemangat untuk bersiap ke sekolah, sudahnya ramailah yang ponteng. Nak mandi susah, nak cuci susah, nak masak pun susah," dakwanya.
Sementara itu, Faez Abdullah, 37, berkata, kewujudan tangki di taman tersebut tidak mampu untuk menangani isu berkenaan yang semakin berlarutan.
Menurutnya, perbincangan telah dibuat dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk mengurangkan bebanan penduduk namun masih tidak berhasil.
"Lori hantar air ke tangki dalam tiga kali sehari namun air paip di rumah hanya akan keluar dalam tempoh lima hingga 15 minit, kadang-kala yang keluar air keruh sahaja," dakwanya.
Sehubungan itu, dia berharap SADA dapat mempertingkatkan perkhidmatan dalam usaha menyalurkan sumber air bersih kepada penduduk bagi memastikan aspek kebersihan dan kesihatan penduduk terjamin.
Sinar Harian akan cuba mendapatkan reaksi pihak SADA berhubung masalah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!