130 jalan raya rosak akibat banjir

Wan Ahmad (kiri) melihat kerja-kerja pemasangan jambatan bailey di laluan FT2490 Jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar yang runtuh akibat banjir. - Foto Bernama
Wan Ahmad (kiri) melihat kerja-kerja pemasangan jambatan bailey di laluan FT2490 Jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar yang runtuh akibat banjir. - Foto Bernama
A
A
A

ROMPIN - Sebanyak 130 kerosakan jalan raya di jalan Persekutuan dan Negeri di negeri-negeri yang dilanda banjir dilaporkan akibat bencana itu setakat ini, kata Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 56 kerosakan adalah di jalan Persekutuan dan memerlukan hampir RM130 juta untuk memperbaikinya secara berperingkat mengikut tahap kerosakannya setelah peruntukan diterima.

"Yang mana boleh dipercepatkan kita akan segerakan, kalau ada yang perlu bina jambatan dan seumpamanya kita akan lakukan kajian terlebih dahulu," katanya kepada Bernama selepas memantau pemasangan jambatan bailey di laluan FT2490 Jalan Masuk ke Perwira Jaya dan Selancar di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai pemasangan jambatan bailey atau jambatan panel keluli bermodular sepanjang 42.67 meter (140 kaki) itu, beliau berkata, ia giat dijalankan dan dijangka siap petang esok.

Menurutnya, kerja-kerja menstabilkan hakisan telah dilaksanakan semalam sebelum pemasangan jambatan itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 80 petugas.

"Setakat ini, pemasangan berjalan lancar yang mana mereka bekerja secara 24 jam, cuma mungkin cabaran di sini ialah kawasannya agak sempit namun mereka akan lakukan sehabis baik untuk menyiapkan pemasangan jambatan itu," katanya.

Menurut Wan Ahmad Uzir, komponen-komponen jambatan sementara tersebut telah digerakkan ke lokasi pada Khamis dari JKR Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan JKR Daerah Petaling, Selangor.

Runtuhan jalan yang dianggarkan sepanjang 23 meter itu mengakibatkan kira-kira 12,000 penduduk setempat mengalami kesukaran untuk menuju ke bandar selepas jalan berkenaan ditutup bagi semua jenis kenderaan demi keselamatan pengguna.

Jalan tersebut merupakan laluan yang menghubungkan penduduk setempat Felda Selancar ke Segamat dan juga ke Muadzam Shah di sini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!