Pesat, Muslim Aid Malaysia sumbang beras kepada asnaf

Sumbangan beras kepada asnaf yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Sumbangan beras kepada asnaf yang berlangsung di Auditorium Karangkraf pada Ahad. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Anak-anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) dengan kerjasama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia menyerahkan sumbangan beras kepada 30 asnaf.

Presidennya, Rosliza Akma Zakaria berkata, sumbangan itu merupakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) bersempena bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.

“Setiap tahun Pesat akan adakan program agihan sumbangan sebelum dan semasa bulan Ramadan.

“Kita turut mewujudkan Tabung Prihatin Pesat,” katanya selepas majlis penyerahan tersebut yang berlangsung di dewan Kompleks Karangkraf pada Ahad.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid, Habsah Marjuni berkata, NGO itu merupakan perantara dalam menjayakan program tersebut.

Ujarnya, Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid sudah lama bekerjasama dengan Pesat dalam pemberian sumbangan kepada golongan asnaf pada setiap tahun.

“Sumbangan beras melalui Pesat diadakan setiap tahun. Muslim Aid akan mengagihkan sumbangan termasuk makanan di lebih 20 lokasi sepanjang Ramadan kepada semua peringkat masyarakat.

“Muslim Aid sebagai NGO berfungsi sebagai perantara kepada Pesat dan pemilik beras jenama Gerai, Tengku Roh Afazan Tengku Abd Rahman dalam menyampaikan sumbangan pada hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Tengku Roh Afazan berkata, agihan beras dilaksanakan hampir setiap tahun atas dasar kemanusiaan.

“Tujuan pemberian ini untuk infaq dan fidyah bagi mereka yang memerlukan. Insya-ALLAH pada tahun hadapan kita akan teruskan lagi program seperti ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!