Kerajaan Pulau Pinang didakwa 'pilih kasih'
NIBONG TEBAL - Kerajaan Negeri Pulau Pinang disifatkan hipokrit dan 'pilih kasih' apabila membawa usul untuk mengosongkan empat buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang DUN yang akan diadakan pada Isnin ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim berkata, undang-undang terpilih yang diamalkan kerajaan negeri itu hanya akan merugikan rakyat di empat kawasan yang terlibat apabila suara serta permasalahan mereka tidak lagi dapat dibawa ke dalam dewan sekiranya usul itu diluluskan.
Menurutnya, apa yang cuba dilakukan kerajaan negeri ini hanya untuk kepentingan mereka sedangkan beliau dan tiga lagi ADUN yang terlibat tidak pernah lompat parti dan sedang menggunakan ruang undang-undang yang kini dalam proses rayuan di mahkamah.
Beliau berkata, kerajaan negeri seolah-olah tidak sabar untuk membawa usul ini ke dalam dewan bagi menyingkirkan mereka.
"Saya dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin dipecat oleh parti kerana berbeza pandangan dan mungkin kami ini kritis dengan pimpinan parti... Adakah bila ada wakil rakyat yang dipecat oleh parti sahaja maka akan terpakai undang-undang atau akta lompat parti ini.
"Lebih kesian kepada dua lagi ADUN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khalid Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) yang sebelum pilihan raya mereka adalah wakil rakyat Bersatu malah sehingga kini pun masih Bersatu... tetapi apabila parti Bersatu tidak lagi bersama dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) mereka pula menjadi mangsa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Ahad.
Zulkifli berkata, sikap hipokrit kerajaan negeri lebih terserlah apabila Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong sebelum ini bersama Ahli Parlimen Pantai Jerejak dan Bagan bersetuju di peringkat Persekutuan dengan pindaan undang-undang lompat parti yang menetapkan mana-mana yang dipecat dari parti atau parti itu keluar dari ikatan gabungan bersama parti-parti lain tak perlu kosongkan kerusi.
Bagaimanapun katanya, di peringkat negeri mereka tidak ambil pendekatan sama malah dilihat cuba menyekat suara empat ADUN terlibat di dalam dewan.
"Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pada Ogos tahun lalu juga pernah menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengadakan sidang khas DUN bagi membolehkan perlembagaan negeri Pulau Pinang berhubung undang-undang antilompat parti diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Namun apa yang mahu dilakukan kerajaan negeri pada sidang DUN kali ini bukannya untuk menyelaras undang-undang pindaan akta lompat parti negeri selaras dengan Persekutuan tetapi diadakan bagi membincangkan usul untuk kosongkan kerusi ini... nampak tak macam mana hipokritnya mereka," katanya lagi.
Zulkifli berkata, walaupun DUN Pulau Pinang akan dibubarkan hanya beberapa bulan lagi bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) namun kerajaan negeri dilihat masih mahu membawa usul berkenaan kononnya mahu memperlihatkan mereka berpegang pada Perlembagaan Negeri.
Beliau mempertikaikan mengapa tindakan sama (usul kosongkan kerusi) tidak dibawa pada 2015 apabila Pas memutuskan hubungan dengan PH sedangkan ketika itu akta berkenaan telah pun dikuat kuasa oleh kerajaan negeri.
"Adakah disebabkan ADUN Permatang Pasir dari Pas ketika itu mesra dengan kerajaan negeri membuatkan kerajaan negeri tidak mengambil tindakan ini.
"Ini jelas sikap 'double standart' kerajaan negeri dalam mengambil satu-satu undang-undang," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!