Terlalu awal hakimi Kerajaan Perpaduan gagal - Fadillah
KUCHING - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, adalah terlalu awal untuk mana-mana pihak menghakimi apa yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan dalam tempoh singkat ini sebagai ‘gagal.’
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai gagal, sepatutnya berpolitik ke arah pembangunan negara dengan memberikan pandangan konstruktif dan bukan berbentuk negatif.
"Saya hormati Tun Dr Mahathir sebagai seorang yang telah banyak menyumbang kepada negara dan berharap beliau terus membantu kita.
"Sekarang rakyat Malaysia memerlukan kita bersatu padu, kita tidak mampu untuk berpolitik lagi, kalau terlalu banyak politik akan menyebabkan kita ketinggalan dari negara-negara lain dan di rantau Asia,” katanya kepada pemberita selepas majlis kesyukuran dan minum petang bersama Persatuan Penduduk Kampung Datu Sibu di sini pada Ahad.
Fadillah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan gagal membawa sebarang perubahan besar kepada rakyat selain menganggap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi apa-apa kesan untuk negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu juga berkata, ketika ini adalah masa untuk memulihkan ekonomi negara dengan menggalakkan lebih ramai pelabur luar datang ke Malaysia.
"Jangan memberikan komen yang boleh menjejaskan negara kita dari sudut ekonomi serta pandangan dunia. Kini sudah banyak pelabur baharu datang ke negara kita disebabkan perpaduan dan kestabilan politik,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Amazon Web Services akan melabur sebanyak RM25.5 bilion bagi memperkukuh industri teknologi maklumat dan komunikasi serta menyokong perkembangan perniagaan perniagaan kecil dan sederhana di Malaysia.- Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!