TFC, KL City terikat tanpa jaringan
TERENGGANU FC (TFC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan KL City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak sebentar tadi.
TFC yang terdesak memburu kemenangan sulung musim ini bermula dengan percubaan pertama menerusi penyerang Thailand, Adisak Kraisorn seawal minit keenam.
Namun, rembatan Adisak hasil hantaran Liridon Krasniqi berjaya dihalang penjaga gol KL City, Kevin Mendoza.
Dua minit kemudian, kapten KL City, Paulo Josue berjaya menjaringkan gol hasil umpanan Herlison Caion, namun dibatalkan pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin kerana ofsaid.
Caion berpeluang untuk mencetak namanya sebagai penjaring gol pada minit ke-14, namun rembatannya dari dalam kotak penalti tersasar di atas palang gol.
TFC memperoleh empat peluang merobek gawang lawan pada minit ke-18, 24, 30 dan 37, namun penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut dan Adisak masih gagal menemui sentuhan jaringan.
Ketumpulan jentera serangan diterajui Mamut dan Adisak jelas mengecewakan lebih 11,000 penyokong setia skuad Penyu yang hadir buat kali pertama musim ini di laman sendiri.
Bersambung babak kedua, KL City memperoleh peluang untuk memecah kebuntuan menerusi Zhafri Yahya dan Muhammad Haqimi Azim Rosli, namun penjaga gol, Rahadiazli Rahalim berjaya menafikan percubaan mereka.
Steinbrukner memasukkan Omid Nazari dan Faiz Nasir bagi menambah sengat TFC, namun tuan rumah masih gagal mencipta jaringan yang menyaksikan keputusan muktamad kekal 0-0.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!