Kelantan bergaya benam Penang FC
KELANTAN FC merakam kemenangan sulung dalam aksi Liga Super musim ini apabila menewaskan Penang FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi.
Skuad The Red Warriors (TRW) itu tampak bermula garang menerusi dua percubaan sebaik wisel permulaan dibunyikan.
Asakan bertali arus tuan rumah berhasil apabila Ishmaheel Akinade membuka tirai jaringan pada minit ke-22 selepas menerima hantaran jauh Muhammad Ghaffar Abdul Rahman.
Muhammad Ghaffar sekali lagi menjadi arkitek TRW apabila bijak membuat hantaran silang ke arah Mohamad Fazrul Amir Md Zaman yang menyempurnakan gol kedua tuan rumah pada minit ke-36.
Dua gol yang diperoleh itu nyata membangkitkan semangat Kelantan FC untuk terus menggasak kubu lawan bagi menambah jaringan.
Bagaimanapun, tiada gol dapat dihasilkan sehingga tamat aksi babak pertama.
Sebaik babak kedua bersambung, Penang FC membuat beberapa serangan ke kubu tuan rumah, namun gagal menghasilkan jaringan.
Kelantan FC pula terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Christian Mangaron Rontini diarah meninggalkan perlawanan kerana mengutip kad kuning kedua akibat mengasari Hassan Saad pada minit-66.
Seminit berselang, giliran Penang FC beraksi 10 pemain apabila Hassan Saad menerima layangan kad merah kerana menyiku kapten tuan rumah, Mario Arques Blasco.
Pasukan pelawat hampir memecah kebuntuan bagi mendapatkan gol, namun gagal selepas sepakan percuma dari luar kota penalti oleh Adriano hanya singgah ke tiang gol tuan rumah.
Penang FC terus terdesak mencari gol apabila kerap mengasak kubu TRW sehingga minit-minit terakhir, namun keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!