Banjir: Mungkin Malaysia boleh ikut cara Belanda

Tinjauan dari udara di sekitar Segamat mendapati beberapa kawasan perumahan dan laluan ditenggelami air banjir. - Foto Bernama.
Tinjauan dari udara di sekitar Segamat mendapati beberapa kawasan perumahan dan laluan ditenggelami air banjir. - Foto Bernama.
A
A
A

SETIAP tahun, fenomena banjir di Malaysia sudah menjadi perkara biasa. Cuma pada tahun ini, ia agak berbeza daripada kebiasaan apabila bencana berlaku di selatan tanah air pada bulan Mac, bukan hujung tahun.

Setiap kali banjir, mangsa pasti berdepan kemusnahan harta benda. Bantuan yang disediakan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, juga pihak berkuasa tempatan sedikit sebanyak membantu. Malah, peruntukan besar juga pasti akan dikeluarkan untuk memperbaiki kerosakan atau melakukan projek tebatan banjir.

Namun, mengeluarkan peruntukan dan tindakan susulan hanya bersifat sementara. Adakah perlu setiap tahun kerajaan terpaksa mengeluarkan wang untuk bantuan kepada mangsa banjir. Adakah usaha seperti mendalamkan sungai atau perparitan akan dapat menampung taburan hujan yang semakin meningkat.

Perlu disedari faktor kos merupakan antara kekangan dan cabaran besar dalam pengurusan banjir di Malaysia. Untuk jangka masa panjang, pelaburan itu bukanlah satu pembaziran jika dibandingkan dengan kerugian terpaksa ditanggung apabila banjir melanda.

Room For The River yang dilaksanakan Belanda boleh dijadikan contoh kepada Malaysia dalam pencegahan risiko banjir dan pengurusan sungai. Belanda yang berkedudukan di bawah paras laut dan menjadi potensi tinggi berdepan banjir besar membuat pelaburan hampir 3 bilion euro bagi mengurangkan risiko banjir secara drastik pada tahun 2007 hingga 2015.

Melalui program Room for the River, sungai di Belanda diberikan lebih ruang untuk mencegah bencana banjir, sekali gus memastikan penduduk tidak perlu berpindah, yang pada hakikatnya akan meningkatkan lagi perbelanjaan mangsa.

Matlamat utama program berkenaan bukan sahaja mencegah bencana, namun pada masa sama memelihara alam sekitar dan kualiti sungai. Malah, model yang diguna pakai Belanda juga boleh diambil untuk menangani risiko banjir kilat yang kerap berlaku di banyak kawasan di Malaysia termasuk di ibu negara.

Mungkin kerajaan menerusi kementerian terlibat boleh melihat kaedah ini untuk disesuaikan dengan negara kita.

Walaupun mungkin melibatkan pelaburan besar, namun ia pasti bukan sahaja dapat menjimatkan jutaan ringgit yang musnah akibat banjir, malah mengurangkan tekanan emosi dan mental mangsa yang kehilangan harta benda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!