'Tanam mentaliti menang'

Aaron (kanan) dan Wooi Yik dijadualkan beraksi pada Terbuka Jerman, Seluruh England dan Terbuka Switzerland bulan ini.
Aaron (kanan) dan Wooi Yik dijadualkan beraksi pada Terbuka Jerman, Seluruh England dan Terbuka Switzerland bulan ini.
A
A
A

BARISAN pemain yang bakal menggalas cabaran negara dalam tiga kejohanan badminton di Eropah bulan ini perlu menanam mentaliti menang dalam setiap aksi yang mereka harungi.

Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim berkata, mereka juga perlu memberikan fokus penuh kepada perlawanan dengan mengetepikan sebarang unsur luar yang boleh mengganggu corak permainan.

Beliau berkata, setiap pemain harus menampilkan aksi terbaik dengan menganggap ia adalah perlawanan terakhir biarpun hakikatnya mereka bakal berdepan tiga kejohanan besar di pentas Eropah bulan ini.

“Ia merupakan kejohanan besar di Eropah dan bagi kami sebagai pemain menggelarnya sebagai 'tiga beradik' kerana gabungan Terbuka Jerman diikuti Seluruh England dan Terbuka Switzerland.

“Nikmati perlawanan sebaik-baiknya. Fokus kepada permainan, fikirkan kemenangan dan beri yang terbaik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Tiga kejohanan di Eropah itu bermula dengan Terbuka Jerman pada 8 hingga 13 Mac diikuti Seluruh England di Birmingham (14 hingga 19 Mac) dan Terbuka Switzerland (21 hingga 26 Mac).

Beregu lelaki yang juga juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik adalah antara wakil yang akan menggalas tugas besar negara pada tiga kejohanan itu.

Roslin yang juga Panel Penasihat Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya setiap pemain sudah membuat persiapan rapi di bawah bimbingan jurulatih masing-masing.

“Paling penting adalah Seluruh England, tetapi sebelum itu ada Terbuka Jerman. Jadi pemain perlu mula memberi yang terbaik pada Terbuka Jerman diikuti kejohanan seterusnya.

“Jangan fikir kalah (tersingkir awal) pada Terbuka Jerman tidak mengapa, sebab ada lagi Seluruh England dan Terbuka Swiss. Anggap setiap perlawanan itu sebagai final,” katanya.

Roslin turut meminta para pemain melupakan segala perkara remeh-temeh yang boleh mengganggu emosi dan mental mereka ketika berada pada kejohanan tersebut.

“Jika ada isu luaran, selesaikan jangan bawa ke gelanggang. Sebagai pemain profesional mereka rasa boleh selesaikan tetapi sebaiknya bincang dengan jurulatih dan luahkan, jangan simpan dalam hati,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!