Fahami syarat sebelum ambil kredit komuniti
KEBELAKANGAN ini, pinjaman kredit komuniti menjadi antara alternatif orang ramai untuk mendapatkan pinjaman kewangan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Kredit komuniti merupakan syarikat pemberi pinjaman wang di Malaysia yang berdaftar di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ia adalah penjenamaan semula bagi Pemberi Pinjam Wang Berlesen (PPW) dan mempunyai lesen sah untuk menawarkan perkhidmatan pinjaman wang kepada pelanggan.
Namun, di sebalik kemudahan tersebut, ramai peminjam ‘terjerat’ dengan kelicikan syarikat yang berselindung di sebalik imej komuniti kredit.
Di akhbar-akhbar tempatan, terpapar luahan peminjam yang membuat pinjaman dengan syarikat yang menawarkan kredit komuniti ini, tetapi kemudian tertekan dengan kadar faedah dikenakan terlalu tinggi.
Malah, terdapat peminjam yang mendakwa tidak diberi salinan perjanjian pinjaman dan turut diminta menandatangani perjanjian kosong.
Selain itu, ada segelintir kredit komuniti dipercayai mengawal akaun peminjam dengan memegang kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor pengenalan peribadi (PIN) pelanggan mereka untuk tujuan pembayaran balik.
Lebih parah, terdapat syarikat yang mengancam peminjam dengan ugutan untuk memalukan mereka seperti menyebar gambar, menghubungi ahli keluarga, rakan-rakan dan majikan. Juga ada yang menghantar ejen atau kakitangan ke rumah sekiranya peminjam culas membuat bayaran balik. Tidak ubah seperti along.
Tindakan intimidasi itu berani dilakukan mereka kerana pengguna tidak diberikan sebarang bukti pembayaran atau salinan dokumen perjanjian pinjaman menyebabkan kes tidak dapat dibawa ke mahkamah.
Situasi sebegini sudah cukup membuktikan syarikat berkenaan mengamalkan urus niaga tidak telus, dipercayai untuk menyembunyikan beberapa syarat yang menekan peminjam.
Justeru, cadangan kerajaan menerusi KPKT untuk menggubal Akta Kredit Pengguna adalah satu langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, melalui penggubalan undang-undang yang diterajui Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti itu, pengguna akan lebih terjamin mendapat hak perlindungan daripada menjadi mangsa.
Menerusi Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400), kredit komuniti yang melanggar kadar faedah dibenarkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 18 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sudah tentu dengan penggubalan itu, kerajaan dapat menyelamatkan rakyat yang memerlukan sumber kewangan daripada menjadi mangsa pemberi pinjaman yang menggunakan nama syarikat kredit komuniti, kononnya mendapat kelulusan Kementerian Kewangan untuk mereka beroperasi.
Dalam tempoh empat tahun dari 2018 hingga November tahun lalu, KPKT telah mengheret sebanyak 369 syarikat kredit komuniti ke mahkamah. Setiausaha Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Muhammad Nor Azam Samah melaporkan, sebanyak 639 kompaun juga dikeluarkan ke atas syarikat kredit komuniti yang melakukan pelbagai kesalahan.
Sehingga 30 November tahun lalu, jumlah lesen PPW atau kredit komuniti dikeluarkan di seluruh negara ialah sebanyak 4,927 termasuk di Sabah dan Sarawak. Data ini dikongsi Ketua Cawangan Siasatan dan Pemantauan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti KPKT, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Hassan pada Januari lalu.
Sebenarnya, masih ramai pengguna pembiayaan kredit komuniti yang tidak tahu hak mereka sebagai peminjam, termasuk wajib menandatangani perjanjian di lokasi yang dilesenkan, selain perlu diberikan salinan pinjaman.
Adalah penting bagi pengguna untuk memahami hak dan kewajiban ketika mahu mengambil kredit dan memilih pemberi kredit yang dipercayai.
Pengguna juga harus membaca dan memahami dengan baik syarat dan peraturan kredit sebelum menandatangani kontrak bagi mengelak berlaku masalah di kemudian hari.
Selain itu, adalah penting supaya kawal selia syarikat ini diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) dan bukan KPKT bagi memudahkan tindakan diambil jika berlaku salah saku atau pelanggaran peraturan.
Kita yakin, apabila Akta Kredit Pengguna sudah dikuatkuasakan, ia mampu menyekat salah laku pemberi kredit yang sering memberi tekanan serta menjadikan penerima kredit sebagai pengguna yang bijak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!