Rasuah boleh memufliskan, rosak masa depan negara - Patriot
SHAH ALAM - Perlakuan rasuah dalam kalangan pemimpin boleh memufliskan dan merosakkan masa depan negara jika tidak ditangani segera.
Naib Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Mohd Anuar Osman berkata, pemimpin dalam sesebuah negara merupakan individu penting dalam mencorakkan dan mentadbir negara, sekali gus menjadi ikon atau tauladan yang akan dicontohi rakyat terutama generasi muda.
Justeru, bagi menyelamatkan masa depan golongan muda termasuk negara, pemimpin itu sendiri perlu berintegriti dan jujur supaya tidak terdedah kepada gejala rasuah.
“Saya menjunjung kasih titah Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) berkenaan rasuah. Perlu diingat, ia boleh memufliskan dan merosakkan masa depan negara.
“Rasuah selama ini bagaikan satu amalan, apatah lagi dalam pemberian imbuhan atau ‘pelincir’ bagi mendapat sesuatu manfaat atau projek. Perlakuan itu boleh mempengaruhi budaya masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambah Mohd Anuar, masa depan negara bergantung kepada golongan muda, maka rasuah perlu dibanteras habis-habisan supaya ia tidak menjadi ikutan kepada mereka.
Jelasnya, rakyat juga sudah jemu dan muak dengan isu berkenaan, yang bukan hanya menjejaskan nama malah mendedahkan negara kepada bahaya.
Pada Jumaat, Sultan Nazrin bertitah, rakyat sudah terlalu lemas dan berasa amat jijik melihat perlakuan rasuah dalam kalangan pemimpin.
Titah baginda, rasuah ialah barah yang menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan.
Baginda bertitah, Forum Ekonomi Dunia tahun 2019 menamakan rasuah sebagai cabaran paling besar yang anak muda hadapi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!