Kerajaan Sarawak sahkan tiada perpindahan pejabat pendaftar
KUCHING - Kerajaan Sarawak tidak dibawa berunding mengenai perpindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu berkuatkuasa 1 Mei tahun ini, menurut Pejabat Ketua Menteri Sarawak.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat itu berkata perundingan itu adalah satu keperluan di bawah Perkara 121 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Tiada perundingan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai perpindahan pejabat tersebut.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata di Sandakan, Sabah bahawa Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak akan dipindahkan dari Kuching ke Kota Kinabalu.
"Kerajaan Sarawak membantah keras ketidakpatuhan kepada Kedaulatan Undang-undang dan menganggap perpindahan ini sebagai tidak berperlembagaan," kata kenyataan itu susulan kenyataan Liew dan surat oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengenai perpindahan tersebut.
Kenyataan itu berkata walaupun kerajaan Sarawak menerima keputusan muktamad perkara itu terletak di bawah Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri tetapi adalah penting proses perundingan yang menjadi asas fundamental dipatuhi.
"Tindakan yang tidak berperlembagaan ini, jika tidak disema, pada masa akan datang, akan memberi kesan yang lebih luas ke atas hak-hak Sarawak di bawah Perlembagaan," tambah kenyataan itu.
Liew berkata keputusan itu dibuat oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim kanan beberapa bulan yang lalu dan diluluskan oleh Dr Mahathir dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan kerana perpindahan dibuat atas permintaan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!