Banjir jejaskan persiapan sekolah anak
TAMPIN - Banjir yang melanda beberapa kawasan sekitar Gemas di sini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terutama apabila sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi.
Malah beberapa mangsa banjir yang ditemui Sinar Harian turut memberitahu buku teks sekolah dan dokumen penting antara yang diselamatkan dahulu sebelum bergerak ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Rosma Wati Abdul Latif, 44, berkata, dia baru sebulan menyewa rumah di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah di sini.
"Saya ada tiga orang anak berusia 17, 14 dan 10 tahun. Kelengkapan sekolah memang tak beli apa-apa lagi kerana kami cadang buat persiapan dah dekat waktu persekolahan nanti.
"Ini pengalaman pertama saya berdepan dengan banjir. Banyaklah barang rumah rosak, kebanyakannya terpaksa dibuang," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, dia sempat menyelamatkan buku-buku sekolah anaknya dan dokumen penting selepas menyedari keadaan hujan berterusan malah paras air semakin naik.
"Rumah arwah nenek dekat Felda Sungai Kelamah sahaja. Jadi, masa keadaan belum teruk saya segera pindahkan ke situ, tapi saya bimbang jugalah kalau hujan berterusan lagi, macam manalah nanti," katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Nordalila Shamsudin, 36, berkata, dia masih belum membeli kelengkapan persekolahan anak dan bercadang untuk berbuat demikian seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.
"Saya ada dua orang anak yang sedang bersekolah. Hari ini pula PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah ditutup, nak balik ini rasa risau.
"Keadaan cuaca pun mendung sahaja, harap menjelang sekolah nanti cuaca baiklah. Sebab kalau kejadian sama berulang sukar sikit nanti bila sekolah," katanya.
Berbeza pula dengan Juriah Kawiyan, 60, yang memaklumkan lebih 10 tahun tinggal di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah dan hampir saban tahun berdepan masalah sama.
"Jadi barang dalam rumah ini ala kadar sahaja, barang-barang penting sudah disimpan atas loteng rumah," katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi sekitar pekan Gemas mendapati banjir sudah surut dan rata-rata penduduk yang terjejas akibat bencana itu sedang membersihkan kediaman masing-masing.
Sebelum itu, sebanyak 14 PPS telah dibuka di negeri ini sejak 1 Mac lepas melibatkan 312 keluarga dengan 1,097 mangsa dan ia ditutup sepenuhnya pada Ahad jam 2.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!