Banjir Johor: 44 jalan utama, susur ditutup
JOHOR BAHRU - Sebanyak 44 jalan utama dan susur ditutup untuk semua jenis kenderaan melibatkan lapan daerah negeri ini akibat dinaiki air.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, keadaan itu mengakibatkan beberapa kawasan di Batu Pahat, Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Mersing, Muar dan Tangkak terputus hubungan.
"Antaranya Jalan Paloh, Jalan Parit Jambi, Jalan Sri Bengkal, Jalan Yong Peng-Muar, Jalan Lingkaran Kahang Barat, Jalan Mawai Lama, Jalan Tanah Abang dan Jalan Semaloi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, beliau berkata,14 sungai di tujuh daerah diletakkan bawah kategori paras air berbahaya antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Tangkak, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Johor.
Menurut Azmi, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula menunjukkan beberapa daerah menunjukkan amaran hujan berterusan tahap waspada iaitu Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Berkenaan jumlah mangsa banjir di negeri ini, beliau berkata, situasi banjir masih kritikal apabila 49,410 orang ditempatkan di 269 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Isnin.
Jumlah itu katanya, menunjukkan peningkatan berbanding seramai 44,860 mangsa yang ditempatkan di 260 PPS, pada waktu sama, pada Ahad.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, jumlah mangsa banjir terkini itu terdiri daripada 14,125 buah keluarga.
"Kesemua 10 daerah di negeri ini kembali terjejas akibat banjir dengan daerah yang menempatkan paling ramai mangsa adalah Batu Pahat membabitkan seramai 20,767 mangsa.
"Ini diikuti daerah Segamat dengan 11,023 mangsa, Kluang (4,770), Muar (4,625), Tangkak (3,229), Kota Tinggi (3,160), Mersing (1,167), Johor Bahru (327), Pontian (278) dan Kulai (64)," katanya.
Tambah Azmi, jumlah mangsa yang maut akibat banjir di negeri ini kekal seramai empat orang iaitu K Sarathkumar yang menetap di Kluang manakala Lee Amo Yee, Tan Sue Ke dan A Fatimah menetap di Segamat.
Tambahnya, Sarathkumar dipercayai maut dalam kereta selepas kenderaan itu dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, manakala Amo Yee, Sue Ke dan Fatimah Anthony dilaporkan mati lemas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!