JPS akan segera laksana projek RTB di Johor
KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan segera menjalankan projek rancangan tebatan banjir (RTB) terutama di Johor, selaras arahan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr Md Nasir Md Noh berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan kaedah reka dan bina dalam projek RTB yang dilaksanakan nanti kerana ia disifatkan antara kaedah yang lebih cepat dan berkesan.
"Memang sudah ada di dalam senarai (projek RTB terutama di Johor), tinggal lagi hendak direalisasikan kaedah bagaimana, sama ada kaedah konvensional atau reka dan bina.
"Apabila Perdana Menteri maklumkan hendak cepat, maksudnya kalau hendak cepat kita perlu guna kaedah reka dan bina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Makan Malam Institut Jurutera Malaysia (IEM) Terengganu 2023, di sini malam tadi.
Katanya, selain di Johor, JPS juga sedang mengenal pasti lokasi di negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak yang perlu dijalankan projek RTB dengan segera bagi mengurangkan impak kejadian banjir.
Semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kampung Tengah di Segamat pada Ahad, Anwar memberi jaminan bahawa projek RTB terutamanya di Johor, akan disegerakan operasinya bermula Jun ini.
Katanya, proses tender projek tebatan banjir berkenaan harus disegerakan dan perlu beroperasi cepat memandangkan isu banjir di Johor terutamanya, merupakan sesuatu isu yang berulang.
Dalam pada itu, Md Nasir berkata, JPS akan menempatkan antara 10 hingga 20 lagi pam bergerak di kawasan kritikal di Johor bagi mempercepatkan aliran air banjir, sebagai tambahan kepada sekitar 15 pam bergerak yang telah dipasang di beberapa kawasan di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak.
"Kami memang siap sedia dengan pam bergerak ini di seluruh negara. Contohnya kami ada sediakan (beberapa pam bergerak) di Terengganu dan sekiranya Terengganu tidak banjir kami akan ambil dan hantar ke Johor,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Md Nasir berkata, JPS telah melaksanakan konsep pengurusan banjir lebih efektif dengan mengaplikasikan pendekatan penyelesaian berasaskan alam semula jadi (NBS) terhadap tiga projek di Terengganu iaitu RTB Kemasik di Kemaman, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kemaman dan RTB Bukit Payong di Marang.
Katanya, reka bentuk ketiga-tiga projek tersebut menggunakan kawasan dataran banjir semula jadi sebagai storan air banjir bagi melindungi kawasan bandar dan perkampungan.
"Dataran banjir dan rizab sungai berfungsi sebagai kawasan takungan serta laluan air apabila hujan lebat dan banjir besar berlaku. Oleh itu, amat penting untuk pihak kerajaan mewartakan dataran banjir dan rizab sungai supaya tidak dibangunkan untuk tujuan lain,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!