TRW bangkit demi penyokong setia
KESETIAAN ribuan penyokong The Red Warriors (TRW) dorong kebangkitan semangat juang membenam Penang FC 2-0 pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Ahad.
Ketua Jurulatih Kelantan FC, Choi Moon Sik berkata, misi menentang skuad Harimau Kubang amat penting dan ternyata berjaya memperoleh tiga mata pertama untuk liga itu.
“Kemenangan ini hasil sokongan padu penyokong-penyokong setia TRW yang amat dihargai.
“Sorakan dan paluan gendang mereka beri aura dan suntikan semangat para pemain untuk menghasilkan gol,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat aksi bertenaga 90 minit.
Mengulas perlawanan itu, Moon Sik memuji barisan pemainnya yang bermain dengan baik dan taktikal dirancang menjadi serta membuahkan hasil.
“Kami amat bangga dengan Ishmaheel Akinade yang menanduk gol hasil hantaran jauh Muhammad Ghaffar Abdul Rahman.
“Sama hebat Mohamad Fazrul Amir Md Zaman yang merembat gol kedua sekali gus memberi kemenangan kepada TRW,” katanya.
Moon Sik menyifatkan pemain muda itu sebagai ‘masa depan’ untuk Kelantan selepas mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan terbabit.
“Saya harap kita kekalkan rentak dan terus memberikan permainan yang bagus pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Menurut bekas pemain kebangsaan Korea Selatan itu juga akan memastikan pemain/pemain bijak mengelak kad merah pada masa akan datang.
Pada aksi itu, Kelantan FC bermain dengan 10 pemain apabila Christian Mangaron Rontini meninggalkan perlawanan kerana layangan kad kuning kedua kerana mengasari Hassan Saad pada minit-66.
Seminit berselang giliran Penang FC beraksi 10 pemain apabila Hassan Saad pula diberikan kad merah oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria kerana kekasaran menyiku kepten tuan rumah Mario Arques Blasco.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!