Steinbruckner akui jentera serangan TFC lemah

Tomislav Steinbruckner
Tomislav Steinbruckner
A
A
A

KELEMAHAN jentera serangan Terengganu FC (TFC) antara punca pasukan itu hanya memperoleh satu mata selepas seri tanpa jaringan ketika melayani kunjungan KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam Ahad.

Perkara itu diakui oleh Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner malah beliau juga nyata kecewa selepas skuad kendaliannya itu masih gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga perlawanan Liga Super.

"Saya tidak berpuas hati hanya mengutip satu mata dari perlawanan ini selepas banyak peluang terhidang malangnya tiada gol terhasil dalam 270 minit. Ianya cukup merisaukan.

"Mereka (Adisak dan Mamut) juga tidak mendapat bantuan sehingga pertukaran posisi Sony (Norde) dan Syafik (Ismail), baru ada hantaran berkualiti dari sebelah sayap.

"Apa yang ditunjukkan ketika sesi latihan cukup baik namun tiba hari perlawanan, ianya tidak seperti yang kami harapkan," katanya dalam sidang akhbar di sini, malam Ahad.

Jurulatih berasal dari Croatia itu berkata, beliau melihat barisan pertahanan TFC yang diketuai Sardor Kulmatov dan ketua pasukan, Shahrul Nizam Roshasni mempamerkan persembahan yang terbaik.

Namun, katanya jentera tengah dan serangan dilihat masih belum mempamerkan aksi terbaik dan perlu lebih agresif dalam mengatur gerakan.

Jelas beliau, pasukan itu juga gagal memanfaatkan situasi bola mati dengan 10 sepakan sudut dan sekurang-kurangnya tiga sepakan percuma pada kedudukan terbaik yang dimiliki.

"Jentera kedua-dua bahagian sepatutnya lebih agresif dan menunjukkan naluri pemusnah. Malangnya ia tidak berlaku malam ini (semalam)," ujar beliau.

Dalam pada itu, Tomislav turut memberi bayangan dua pemain iaitu Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn bakal digugurkan bagi memberi peluang kepada penyerang simpanan, Jordan Mintah yang bersama TFC II untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya.

Keputusan seri 0-0 ketika bertemu KL City FC malam Ahad meletakkan pasukan naib juara Liga Super tahun lalu itu berada pada kedudukan tercorot dan menjadi satu-satunya pasukan tanpa sebarang gol setakat ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!