Seleweng duit MAINS: 11 sudah dipanggil beri keterangan
SEREMBAN - Polis telah menghantar kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Negeri Sembilan pada 2 Mac lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya telah pun melengkapkan kertas siasatan itu selepas mengambil keterangan seramai 11 individu.
"Kita menunggu arahan lanjut daripada pihak terbabit kerana siasatan yang dijalankan juga adalah pandangan serta nasihat daripada PPN.
"Buat masa ini siasatan kekal di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah tetapi sekiranya didapati ada unsur lain kita akan serahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada Isnin.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci 11 individu yang dipanggil tetapi memberitahu mereka terdiri daripada peringkat.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan dilakukan.
"Mereka yang didapati menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial boleh berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan pula mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan pada 2019, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat yang melibatkan jutaan ringgit.
Pihak terbabit mendakwa SPRM telah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!