90 rumah atas air musnah dalam kebakaran
SANDAKAN - Kira-kira 90 rumah atas air musnah dalam satu kebakaran di Kampung Cenderamata, Batu Sapi dekat sini awal pagi Isnin.
Ketua Zon 6 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan, Jasri Abd Jal berkata, pihaknya menghantar satu pasukan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.06 pagi.
"Tiada mangsa cedera mahupun kehilangan nyawa. Alhamdulillah semuanya selamat, walaupun kami tahu kebakaran ini agak besar juga, berlaku awal (sebelum) subuh dalam keadaan yang gelap," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini pada Isnin.
Menurut Jasri, api berjaya dikawal pada 4.53 pagi dan padam sepenuhnya pada 7.48 pagi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abd Fuad Abd Malek berkat, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) telah diaktifkan dan semua mangsa ditempatkan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi yang dijadikan pusat penempatan sementara (PPS).
Menurutnya, setakat ini 34 keluarga telah berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan proses pendaftaran masih berjalan di PPS tersebut.
Beliau juga memaklumkan pihak polis turut menyediakan perkhidmatan untuk mangsa membuat laporan di PPS berkenaan tanpa perlu ke balai polis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!