Buruh binaan dikenakan bon kelakuan baik kerana rogol kekasih
SHAH ALAM - Seorang remaja lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, selepas mengaku bersalah merogol kekasihnya yang berusia 14 tahun, pada 2021 lalu.
Hakim Rasyihah Ghazali turut memerintahkan tertuduh yang kini berusia 19 tahun, dikenakan cagaran sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan selain pengawasan polis selama setahun sebaik selesai bon tersebut.
Ketika membaca keputusan penghakiman ringkasnya, Rasyihah berkata, tertuduh akan dijatuhi hukuman mengikut kesalahan merogol, jika melanggar syarat dan melakukan kesalahan dalam tempoh tiga tahun.
"Sekiranya gagal melunaskan cagaran sehingga jam 4 petang ini, tertuduh akan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun, menjalani kaunseling selama tempoh penahanan dan diletakkan bawah pengawasan polis selama dua tahun," katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Saujana Puchong, Puchong, pada jam 10 malam, Disember 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah dihubungi teman wanitanya pada Oktober 2021 agar mengambilnya dari rumah selepas bertengkar dengan ibunya dan mahu melarikan diri dari rumah.
Bapa remaja perempuan itu kemudiannya membuat laporan polis.
Siasatan mendapati remaja itu telah melakukan hubungan intim beberapa kali di rumah pekerja milik syarikat tertuduh bekerja di Batu 14, Puchong di sini.
Pada bulan Mei tahun lalu, teman wanitanya memaklumkan telah hamil lima bulan sebelum dijaga ibu tertuduh termasuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik swasta sepanjang kehamilannya kemudian melahirkan bayi lelaki di Hospital Selayang pada 16 September tahun lalu.
Semasa prosiding, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Shah Alam, Nur Syuhada Ahmad Sayuti berkata, berdasarkan laporan sosial, tertuduh tinggal bersama ibu dan bapa tirinya.
Beliau berkata, penama iaitu tertuduh telah berhenti sekolah semasa di tingkatan tiga kerana tidak berminat untuk meneruskan sesi akademik.
"Dia tidak pernah terlibat dalam dadah dan alkohol," katanya.
Sementara itu, tertuduh yang tidak wakili peguam mengaku insaf, kesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
"Saya perlu tanggung mak, bapak tiri yang sakit dan anak saya," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan seksual merupakan jenayah yang serius.
"Semasa kejadian, mangsa hanya berusia 14 tahun sembilan bulan sementara tertuduh, 17 tahun lima bulan.
"Sepatutnya tertuduh mempunyai tahap pemikiran yang matang dan mampu berfikir, namun malangnya dia gagal berbuat demikian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!