Pelaburan tak wujud: Polis cari empat lelaki

Ahmad Dzaffir menunjukkan gambar empat lelaki yang dicari bagi membantu siasatan berhubung 25 kes penipuan pelaburan tidak wujud di Facebook yang melibatkan kerugian RM5.3 juta di seluruh negara sepanjang bulan lalu.
Ahmad Dzaffir menunjukkan gambar empat lelaki yang dicari bagi membantu siasatan berhubung 25 kes penipuan pelaburan tidak wujud di Facebook yang melibatkan kerugian RM5.3 juta di seluruh negara sepanjang bulan lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Polis mencari empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung 25 kes penipuan pelaburan tidak wujud di Facebook yang melibatkan kerugian RM5.3 juta di seluruh negara sepanjang bulan lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, polis menerima laporan daripada dua mangsa di negeri ini yang mendakwa kerugian sebanyak RM1.4 juta.

"Mangsa lelaki berusia 71 tahun dan wanita 49 tahun membuat laporan masing-masing pada 20 dan 22 Februari lalu mendakwa ditipu dalam pelaburan yang ditawarkan melalui Facebook.

"Mangsa dimasukkan ke kumpulan Whatsapp dan telah ditawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Menurutnya, lelaki berusia 71 tahun yang juga seorang pesara syarikat swasta itu mengalami kerugian RM1.2 juta manakala wanita yang merupakan akauntan itu mengalami kerugian sebanyak RM200,000.

Jelasnya, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebanyak 25 kes dikesan membabitkan modus operandi sama dipercayai dilakukan suspek sama di seluruh negara.

"Polis sudah mengenal pasti dan sedang mengesan empat individu dipercayai dapat membantu siasatan.

"Mereka ialah V.Paramesvaran, 38, dari Setapak Kuala Lumpur, Muhammad Subris Abdullah, 55 (Batu Gajah, Perak), Muhammad Asyraf Mohd. Hissam, 27, (Damansara Damai Sungai Buloh, Selangor) dan Muhammad Sabran Alias, 38, (Chemor, Perak)," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu terbabit diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Mohammad Ariff Jamaluddin di talian 06-7612222 atau 019-4005037.

Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir memberitahu, kes jenayah komersial di Negeri Sembilan didapati meningkat tahun lalu dengan kerugian lebih RM62.51 juta.

"Sebanyak 2,833 kes jenayah komersial dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 107 kes berbanding tahun sebelumnya sebanyak 2,726 kes iaitu pertambahan kerugian RM19.39 juta.

"Tiga kes menunjukkan peningkatan ketara iaitu penipuan telekomunikasi 318 kes, penipuan pelaburan tidak wujud peningkatan 93 kes dan penipuan e-financial fraud meningkat 38 kes.

"Kes penipuan belian atau e-dagang pula mencatatkan peningkatan jumlah kerugian RM1.55 juta dan kes pelaburan pertambahan RM862,000 berbanding tahun lalu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dari segi tangkapan, sepanjang tahun lalu, seramai 1,425 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan jenayah komersial dan 469 orang telah dituduh di mahkamah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!