[VIDEO] Isu kualiti makanan, katering sudah diberikan amaran

Nancy
Nancy
A
A
A

BATU PAHAT - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah memberikan amaran kepada pihak katering yang terbabit dalam isu kualiti membekalkan makanan kepada pusat pemindahan sementara (PPS).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata katering terbabit mengakui terdapat kekurangan dari segi bahan basah sehingga menjejaskan kualiti makanan yang disediakan.

"Kami sudah mendapatkan penjelasan daripada pihak katering terbabit dan mereka mengakui ada kekurangan dari segi kualiti makanan disebabkan susah hendak mendapatkan bekalan bahan basah dan terpaksa pergi jauh.

"Amaran sudah diberikan tetapi buat masa ini bukan senang untuk mencari katering baharu," katanya ketika mengadakan tinjauan di PPS Sekolah Kebangsaan ( SK) Kota Dalam Ayer Hitam di sini pada Isnin.

Menurut Nancy, tiada sebarang masalah jika mangsa banjir melakukan gotong royong menyediakan makanan.

Nancy (tengah) bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Kota Dalam di sini pada Isnin.
Nancy (tengah) bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Kota Dalam di sini pada Isnin.

Jelasnya, paket makanan bungkus akan diagihkan kepada mangsa banjir pada hari pertama mereka di PPS dan terpulang kepada mangsa sama ada mahu menjalankan gotong-royong untuk menyediakan makanan.

"Rewang atau gotong royong terpulang kepada persetujuan mangsa, sebab ada mangsa tidak mahu kerana hendak pulang rumah untuk mencuci dan bersihkan rumah.

"Sekarang ini terpulang kepada pihak di sini kalau mereka bersetuju rewang maka kita tiada masalah," katanya.

Sebelum itu pada Ahad, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi video yang dikongsi di Facebooknya meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan kualiti makanan yang diagihkan kepada mangsa banjir.

Bekas Menteri Pengangkutan itu mendakwa makanan tersebut yang tidak sempurna, malah pembekal menghantar makanan lewat kepada mangsa banjir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!