Gawang bolos, Penang FC terlalu defensif
KOTA BHARU - Terlalu bimbang gol dibolosi lawan mengundang kekalahan Penang FC 0-2 kepada Kelantan FC pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Ahad.
Pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt mengakui anak-anak buahnya itu terlalu defensif dan bersikap berhati-hati walaupun sudah membuat persediaan awal bagi perlawanan itu.
Mereka menjangkakan kesukaran terutama berdepan lawan dari Kelantan yang sudah tentunya memburu mata kemenangan pertama mereka.
“Pemain terarah ke posisi yang tidak sepatutnya. Tidak bagus kerana akan berterusan kehilangan bola dan gagal untuk mendapatkannya semula.
“Ini memberi ruang Kelantan FC kuasai bola manakala kami pula kehilangan banyak bola dan hantaran-hantaran mudah,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan itu.
Separuh masa kedua, Yee Fatt menjangkakan Harimau Kubang mendapat kelebihan apabila pertahanan tuan rumah Christian Mangaron Rontini dilayankan kad merah namun keadaan kembali setara selang seminit apabila penyerangnya Hassan Saad pula menerima nasib sama.
“Walaupun beraksi dengan 10 pemain, ada lebih banyak peluang untuk pemain menghasilkan gol namun tuah tetap tidak datang.
“Kami ambil ini sebagai pengajaran untuk perbaiki permainan.
“Perlu bermain secara lebih baik dan normal pada perlawanan akan datang tanpa terlalu bimbang atau tertekan untuk berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.
The Red Warriors (TRW) membuka tirai jaringan melalui tandukan Ishmaheel Akinade pada minit ke-22 disusuli gol kedua oleh Mohamad Fazrul Amir Md Zaman hasil rembatan yang menembusi gawang pada minit ke-36.
Penang FC merekodkan dua keputusan seri dengan Kuala Lumpur City 2-2 dan Negeri Sembilan 0-0 sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!