Rayuan kes bunuh suami tangguh 26 Ogos
KUCHING - Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 26 Ogos ini untuk pendengaran rayuan kes pembunuhan seorang pengurus bank di Sibu, hampir tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, yang mengetuai panel tiga hakim, menetapkan tarikh tersebut selepas salah seorang hakim panel, Datuk Stephen Chung menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.
Seorang lagi anggota panel ialah Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Dalam kes rayuan tersebut, Ling Hang Tsyr, 38, dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Sibu pada 17 Oktober, 2017 selepas didapati bersalah bersubahat membunuh suaminya, Wong Jing Kui, 31, di rumah mereka di Jalan Ulu Sungai Merah, Sibu, jam 1.30 pagi, 14 Jun, 2012.
Kerani bank bahagian pemulihan kredit itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan bersama teman lelakinya, Andrew Tiong King Guan, 31, yang belum didakwa kerana menghilangkan diri sejak 10 Februari 2015.
Dalam menangguhkan kes rayuan itu, Umi Kalthum berkata hakim Chung berasal dari Sibu dan mengenal ramai orang di sana termasuk teman lelaki tertuduh bersama yang masih bebas.
“Mahkamah perlu peka terhadap perkara ini,”katanya.
Beliau berkata di bawah Perlembagaan Persekutuan, seorang hakim dari Borneo disyaratkan untuk menganggotai panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan apabila mendengar kes di Sabah dan Sarawak.
Peguam, Lim Heng Choong, yang mewakili perayu, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk panel tersebut bersidang tanpa seorang hakim dari Sarawak pada pendengaran seterusnya.
Selain Lim, perayu juga turut diwakili oleh Roger Chin dan Steven Sia.
Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, berkata pihak pendakwaan memahami kedudukan Chung dan peguam Christina Teng, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, menerima alasan untuk penangguhan kes rayuan itu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!