Mayat kru bot nelayan ditemukan lemas
GEORGETOWN - Seorang kru bot nelayan yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Teluk Bahang ditemui lemas pada pagi Isnin.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, mayat Chan Eng Liong, 53, ditemukan terapung pada jam 4.12 pagi oleh pasukan Bomba Teluk Bahang berhampiran lokasi dia dilaporkan terjatuh.
"Maritim Malaysia Pulau Pinang melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat sejurus menerima panggilan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Batu Kawan berhubung kejadian itu di jeti LKIM Teluk Bahang pada jam 5 petang Ahad.
"Mayat mangsa ditemukan pada jam 4.12 pagi tadi, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi," katanya melalui kenyataan di sini pada Isnin.
Abd Razak berkata, mayat lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk tindakan lanjut selepas proses pengecaman dibuat oleh ahli keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!