Hannah kagum semangat pelumba cilik

Hannah (kiri) dan Travis membuat panggilan video dengan Alonso di Parlimen baru-baru ini. - Foto Facebook Hannah Yeoh
Hannah (kiri) dan Travis membuat panggilan video dengan Alonso di Parlimen baru-baru ini. - Foto Facebook Hannah Yeoh
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendedahkan membuat panggilan video dengan juara dunia dua kali Formula Satu (F1), Fernando Alonso mengenai perkembangan kerjaya pelumba cilik, Travis Teoh dalam bidang sukan permotoran.

Beliau turut meluahkan rasa kagum dengan kanak-kanak berusia 12 tahun itu yang mempunyai cita-cita tinggi untuk berjaya dalam sukan tersebut.

“Saya bertanya kepada Travis sama ada dia boleh memberitahu saya sesuatu tentang dirinya. Jawapannya meninggalkan kesan yang berkekalan.

“Saya bekerja keras untuk segala-galanya. Bagi merealisasikannya saya akan terus bekerja lebih keras.

“Ini bukan jawapan biasa daripada budak lelaki berumur 12 tahun. Saya tahu dia serius tentang perlumbaan,” catat Hannah di Facebooknya pada Isnin.

Beliau mengadakan pertemuan dengan Travis di Parlimen baru-baru ini.

Pada pertemuan itu Hannah turut membuat panggilan video dengan Alonso untuk bercakap mengenai perkembangan Travis dan membuka laluannya ke dunia sukan permotoran khususnya F1.

Hannah juga memberi jaminan untuk meningkatkan dan mempromosi bakat Malaysia ke peringkat tertinggi menerusi pelbagai kerjasama strategik.

“Saya sentiasa mencari cara untuk meningkatkan dan mempromosikan bakat Malaysia di peringkat dunia melalui perkongsian dengan pelbagai pihak.

“Saya mengucapkan yang terbaik kepada Travis, Alonso dan A14,” katanya.

Travis (kiri) menghadiahkan Hannah foto kejayaannya dalam perlumbaan. - Foto Facebook Hannah Yeoh
Travis (kiri) menghadiahkan Hannah foto kejayaannya dalam perlumbaan. - Foto Facebook Hannah Yeoh

Travis mula berjinak-jinak dengan sukan permotoran pada usia enam tahun dan telah mengharungi perjalanan yang menakjubkan dalam Kejohanan Karting MAM Malaysia dan Siri IAME Asia apabila memperoleh pelbagai kemenangan.

Kanak-kanak itu mendapat bimbingan Double R Motorsport (DRM) menerusi tunjuk ajar pemilik pasukan itu, Mohd Rohairijaz Mohd Ropin.

Di bawah pasukan DRM, Travis memenangi gelaran kebangsaan dan antarabangsa termasuk siri DPK Racing selain muncul pemenang 2022 untuk Kejohanan Dunia FIA-CIK dalam Kelas OK.

Bermula dengan kejayaan itu, Travis telah dipilih sendiri oleh Alonso untuk menyertai program pembangunan bakat mudanya di bawah syarikat Pengurusan A14 milik pelumba F1 tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!