Banjir: Wanita dikhuatiri lemas terperangkap dalam kereta

Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang wanita yang hanyut dalam keretanya di Jalan Nitar Utama, Mersing pada Isnin.
Anggota bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang wanita yang hanyut dalam keretanya di Jalan Nitar Utama, Mersing pada Isnin.
A
A
A

MERSING - Seorang wanita dikhuatiri lemas akibat terperangkap dan dibawa arus banjir dalam kereta yang dipandunya di Jalan Nitar Utama di sini pada Isnin.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 6.49 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dari BBP Mersing dan BBP Endau dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti memandu kereta Perodua Myvi. Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada tanda-tanda berada di lokasi berkenaan.

"Ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan di Felda Nitar 1 dan Felda Nitar 2. Mangsa dipercayai terbabas ke tebing jalan, paras air atas jalan kira-kira 1.2 meter," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jumlah mangsa yang maut akibat banjir di negeri ini kekal seramai empat orang iaitu K Sarathkumar yang menetap di Kluang manakala Lee Amo Yee, Tan Sue Ke dan Fatimah Anthony menetap di Segamat.

Sarathkumar dipercayai maut dalam kereta selepas kereta dipandunya dihanyutkan arus deras ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada 1 Mac, manakala Amo Yee, Sue Ke dan Fatimah Anthony dilaporkan mati lemas pada 2 Mac.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!