Guru tadika JAIM bakal dapat elaun khas
MELAKA - Nasib seramai 374 guru tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sentiasa mendapat pembelaan termasuk pemberian elaun khas tidak lama lagi.
Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata, perkara baik itu akan diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas meluluskan kertas cadangan berhubung pembayaran elaun bulanan tersebut.
Menurutnya, elaun khas yang akan dinikmati golongan itu sebagai tanda kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan mereka sekali gus mengurangkan beban guru dalam keadaan ekonomi semasa.
Katanya, secara tidak langsung memberi perangsang dan semangat kepada guru-guru untuk berdedikasi mendidik kanak-kanak berusia lima dan enam tahun yang berdaftar di tadika bawah JAIM.
Sebaik sahaja dapat kelulusan Ketua Menteri akan memberi kenyataan berkaitan perubahan tersebut.
"Di peringkat JAIM kita dah selesai, kalau boleh kita nak percepatkan tetapi tengok keadaan, selepas dapat kelulusan kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat bersama guru tadika JAIM di Masjid Al-Azim, di Kampung Bukit Palah, di sini, pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!