Tragedi baling barang, tiga individu parah

Suspek sedang dirawat di hospital dan dilaporkan tidak stabil. Gambar kanan: Tempat kejadian yang dipenuhi darah kerana berlaku tikaman menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan tengah malam semalam.
Suspek sedang dirawat di hospital dan dilaporkan tidak stabil. Gambar kanan: Tempat kejadian yang dipenuhi darah kerana berlaku tikaman menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan tengah malam semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Hanya kerana membaling barang, tiga individu termasuk sepasang suami isteri parah selepas terlibat dalam satu pergaduhan di Blok J, Flat Padang Tembak di sini, tengah malam semalam.

Kejadian pada jam 12.40 tengah malam itu berlaku di hadapan sebuah rumah di tingkat lima flat tersebut, di antara seorang lelaki berusia 45 tahun dengan suami isteri masing-masing berusia 40 dan 41 tahun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati, pergaduhan itu berpunca apabila sepasang suami isteri tersebut didakwa membaling barang dari rumah mereka ke bawah sehingga masuk ke dalam rumah seorang lelaki.

Menurutnya, tidak puas hati dengan tindakan pasangan itu, lelaki yang tinggal di bawah rumah suami isteri tersebut terus memarahi mereka lalu berlaku pergelutan dan pergaduhan.

"Hasil keterangan suspek, punca kejadian adalah disebabkan terdapat barang yang telah dibaling dari tingkat atas lalu termasuk ke rumahnya.

"Dia yang tidak berpuas hati, telah memarahi sepasang suami isteri tersebut lalu berlaku pertengkaran mulut.

"Kemudian, pasangan tersebut telah turun ke rumah suspek lalu si isteri yang juga warga Indonesia telah menolak ibu suspek sehingga terjatuh. Dalam masa yang sama, suspek sedang memegang pisau kerana ketika kejadian, dia sedang memotong buah-buahan," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, suspek yang terlalu marah kerana ibunya ditolak telah menikam wanita Indonesia berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pisau dan gunting yang dirampas di tempat kejadian.
Pisau dan gunting yang dirampas di tempat kejadian.

"Suaminya yang terkejut dengan kejadian itu, terus memegang leher suspek dan menumbuk serta menyiku muka suspek. Ketika mahu mempertahankan diri dari terus dipukul, suspek yang masih memegang pisau telah menikam dada dan perut lelaki berkenaan.

"Susulan daripada kejadian itu, suspek mengalami patah hidung, bengkak mulut dan pipi serta luka di jari kiri, sementara suami kepada wanita Indonesia itu mengalami luka di dada sedalam lapan sentimeter dan perut sedalam lima sentimeter.

"Wanita tersebut pula mengalami luka di dada sedalam tiga sentimeter dan luka di bahagian siku sebelah kanan. Kita belum dapat merakamkan percakapan suami isteri tersebut kerana masih dirawat dan belum stabil," katanya.

Che Zaimani berkata, hasil keterangan beberapa saksi mendapati, ketiga-tiga individu tersebut sering bergaduh yang mana pasangan tersebut didakwa sering mencari pasal dengan suspek.

"Dalam kejadian itu, ada saksi ternampak wanita Indonesia tersebut telah mengambil tin biskut di hadapan rumah suspek lalu memukul kepalanya. Mereka turut bergelut dan saling tumbuk antara satu sama lain sehingga terjatuh di lantai.

"Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian namun ada beberapa saksi melihat kejadian itu. Polis telah mengambil tujuh sampel darah dan tiga sampel barang kes di tempat kejadian. Selain itu, kita turut merampas sebilah pisau dan sebilah gunting," katanya.

Beliau berkata, polis turut merakam 112 percakapan termasuk pengadu, saksi dan doktor.

"Kita akan menahan ketiga-tiga suspek selepas mereka stabil yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP). Kes selesai dan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam.

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!