Dakwaan Bella didera di bilik dobi tidak logik - Siti Bainun
KUALA LUMPUR - Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa dakwaan dia telah mendera remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di bilik dobi sebuah unit kondominium di Wangsa Maju adalah tidak masuk akal.
Siti Bainun, 31, berkata, ini kerana keadaan bilik dobi itu yang terlalu sempit.
Beliau berkata demikian ketika disoal peguam, Mohammad Farhan Maaruf pada prosiding bela diri wanita itu yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun tersebut.
Mohammad Farhan: Sebelum ini puan pernah dicadangkan oleh pendakwaan bahawa ruang bilik dobi besar namun puan menjawab tidak setuju. Kenapa puan tidak setuju?
Siti Bainun: Saya tidak setuju sebab selalunya yang masuk dalam ruang itu, kalau ada membeli barang dapur, hanya saya dan Yasmin sahaja. Kami boleh duduk untuk susun barang tetapi mustahil untuk saya, Yasmin, Aida termasuk Bella berdiri... untuk dera Bella, ia tidak mungkin dan saya tidak nampak logiknya.
Sebelum ini, saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun telah mengarahkannya untuk berbuat demikian kerana Bella tidak mengikuti arahan tertuduh agar berdiri di ruang dobi kondominium yang didiami mereka.
"Mengenai kejadian saya suruh Yasmin pegang Bella sebelum saya pijak lutut juga tidak berlaku kerana kalau betul, lutut Bella mesti patah dan cedera kerana ketika itu berat saya meningkat sebab saya ambil hormon untuk susukan anak saya," kata tertuduh.
Ditanya mengenai dakwaan bahawa insiden termos jatuh ke atas Bella adalah rekaan semata-mata, Siti Bainun berkata, ia adalah berdasarkan 'cerita' Yasmin kepadanya kerana ketika itu, dia tidak berada di rumah.
"Saya tiada di tempat kejadian, jadi saya tidak tahu bagaimana kejadian sebenar berlaku. Semasa saya balik ke kondominium, saya lihat benda itu sudah berlaku dan saya tidak rasa Yasmin tipu saya," katanya.
Tertuduh juga berkata, Yasmin tidak pernah dilayan seperti 'hamba abdi' dan tidak wujud pilih kasih kerana Yasmin sentiasa diberi layanan yang sama seperti anak-anak jagaannya.
"Saya tidak pilih kasih, saya sayang Aida dan Balqis seperti anak saya sendiri. Yasmin adalah penghuni Rumah Bonda tetapi saya beri perhatian lebih kepada dia daripada penghuni Rumah Bonda yang lain. Hari jadi Aida pun saya tidak belikan kek.
"Yasmin bantu saya apabila saya ada kecemasan seperti perlu menghantar penghuni ke hospital untuk bersalin. Jika tidak, saya sentiasa berada di rumah kerana saya berniaga dari rumah, kerja di rumah. Yasmin hanya tinggal dengan saya," katanya.
Yasmin dalam keterangannya memaklumkan mahkamah bahawa dia telah dilayan seperti hamba abdi oleh Siti Bainun ketika menetap di rumah perlindungan itu.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!