Kelantan jangka Lebih 100,000 meriahkan Madinah Ramadan
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menjangkakan Madinah Ramadan tahun ini akan menarik lebih 100,000 pengunjung terutama umat Islam bagi meraikan sebulan Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, pengisian lebih menarik akan diadakan di program itu terutama acara berbuka puasa, solat Tarawih dan ceramah agama bermula pada 23 Mac ini.
Menurut beliau, RM1.3 juta diperuntukkan untuk acara tradisi yang memasuki 30 tahun diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini.
Peruntukan melibatkan RM600,000 daripada kerajaan negeri dan selebihnya syarikat serta orang perseorangan.
“Menu berbuka puasa lauk-pauk masakan Kelantan dijangka dapat menarik kira-kira 1,000 orang sehari manakala keseluruhan 3,000 pengunjung akan ke Madinah Ramadan.
“Selain itu, kami juga mengadakan ceramah agama daripada beberapa penceramah selebriti untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini pada Isnin.
Beliau sebelum itu merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Madinah Ramadan yang turut dihadiri Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin.
Dr Izani berkata, program itu dianjurkan oleh kerajaan negeri untuk memberi manfaat kepada rakyat dan membuka peluang kepada semua untuk sama-sama bersedekah dalam bulan puasa.
“Kami mengalu-alukan rakyat menyertai iftar Madinah Ramadan kerana pelbagai menu akan disediakan seperti ayam percik, ikan, gulai kuning, sayur dan nasi kerabu dengan nilai RM8 setiap pek.
“Turut akan diadakan ialah penyampaian zakat kepada asnaf, ibu tunggal dan anak yatim dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!