Sukar bergerak, Amitabh Bachchan cedera di set penggambaran

Amitabh Bachchan - Foto IG Amitabh Bachchan
Amitabh Bachchan - Foto IG Amitabh Bachchan
A
A
A

NEW DELHI - Pelakon Bollywood, Amitabh Bachchan dilaporkan mengalami kecederaan di set penggambaran seterusnya mengakibatkan masalah pergerakan dan pernafasan yang 'menyakitkan'.

Memetik CNN, Bachchan mengalami kecederaan otot koyak dan patah tulang rusuk selepas cedera ketika menjalani penggambaran adegan aksi untuk filem terbarunya 'Project K' di bandar selatan Hyderabad.

Menulis di blog rasminya pada Ahad, pelakon veteran itu memaklumkan sedang berehat di rumah di Mumbai dan akan mengambil masa beberapa minggu sehingga pulih.

“Sukar atau biar saya katakan... Saya tidak akan dapat bertemu mereka yang mendoakan kesihatan saya di Jalsa Gate petang ini,” tulis Bachchan, merujuk kepada ritual mingguannya bertemu peminat di luar kediamannya di pinggir bandar Juhu.

Pelakon berusia 80 tahun ini juga memohon peminat untuk tidak menunggu di luar kediamannya buat masa ini.

“Jadi jangan datang ... dan maklumkan kepada mereka yang berniat untuk datang,” ujarnya lagi.

Bachchan yang pernah membintangi sekitar 200 buah filem sepanjang kariernya yang menjangkau lebih lima dekad menjadi pujaan jutaan peminat Bollywood di seluruh dunia.

Terdahulu, selepas dia mengalami kecederaan yang mengancam nyawa di set pada tahun 1982, para peminatnya melancarkan mogok lapar malah salah seorang peminat sanggup berjalan 482 kilometer (300 batu) ke belakang untuk berdoa agar dia sembuh.

Bachchan membuat kemunculan pertama dalam industri perfileman Bollywood, pada tahun 1969 menerusi filem Saath Hindustani yang diterjemahkan kepada Seven Indians.

Beliau meraih status superstar selepas kejayaan membawa peranan utama dalam filem blockbuster bertajuk 'Don' pada 1978.

Sepanjang kerjayanya yang cemerlang, Bachchan melakonkan pelbagai watak dalam genre filem berbeza antaranya keluarga, aksi dan drama. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!