Kereta dihanyut arus deras di Mersing ditemukan - Bomba
MERSING - Sebuah kereta Perodua Myvi yang dihanyutkan arus deras di Jalan Nitar Utama di sini pagi tadi, ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jarak 15 meter dari lokasi ia dilaporkan hilang.
Komander operasi, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar berkata, kereta berkenaan ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dalam keadaan terbalik pada 6.55 petang tadi.
Beliau bagaimanapun berkata, pasukan bomba masih belum dapat memastikan keadaan mangsa kejadian yang dipercayai seorang wanita.
"Kerja-kerja membawa naik kereta mangsa sedang dijalankan, namun keadaan mangsa masih belum dapat dipastikan, " katanya menerusi satu kenyataan malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani dalam kenyataan berasingan mengesahkan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata ketika kejadian, mangsa berusia 23 tahun itu, dipercayai sedang dalam perjalanan dari Mersing ke Kluang dan telah memandu di jalan raya yang telah dinaiki air sebelum dihanyutkan arus bersama-sama kenderaan yang dipandunya.
Abdul Razak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diatur gerak sejak pukul 11 pagi tadi sebaik maklumat diterima daripada Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999.
"Operasi ini melibatkan 27 orang pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Endau dan Mersing serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Skudai, " katanya.
Beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa peka dengan situasi semasa banjir dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi keselamatan diri dan harta benda. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!