Tekad teruskan legasi cemerlang Tajuddin di Pasir Salak

Faizal
Faizal
A
A
A

PASIR SALAK - Naib Presiden UMNO, Dr Faizal Tajuddin mahu meneruskan legasi kepimpinan cemerlang parti itu di Pasir Salak sebagaimana dilakukan ayahnya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Faizal yang menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian pada pemilihan kali ini berkata, segala gerak kerja dan strategi yang diguna pakai sebelum ini akan terus dipraktikkan bagi memastikan parti keramat itu kembali 'bernyawa'.

Menurutnya, tanggungjawab itu nanti mampu digalas dengan baik memandangkan kejayaan mengemudi Jabatan Komunikasi, Penyelidikan dan 'War Room' sebelum ini, membantu UMNO mengekalkan kemenangan di Pasir Salak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan PRU14.

"Apa sahaja aktiviti UMNO yang dijalankan selama lebih 15 tahun ini merupakan hasil idea dan pro tindakan yang war room sediakan.

"Selepas rekod mengecewakan pada PRU12, kita bagi pandangan dan desak agar kepimpinan jalankan, maka dengan itu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat capai prestasi lebih baik.

"Jadi walaupun ketiadaan Datuk Seri Tajuddin (dalam barisan kepimpinan) nanti, segala pelan tindakan yang digunakan selama ini akan kita teruskan untuk berikan kembali kemenangan kepada kita," katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian di sini.

Tajuddin menggalas tugas sebagai Ketua UMNO Bahagian sejak 2004 dan berjaya mempertahankan kerusi BN di Parlimen Pasir Salak sejak 2008 sehingga PRU14.

Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggantung keahlian Tajuddin selama enam tahun telah menghalang pemimpin veteran itu daripada mempertahankan jawatan parti di peringkat bahagian.

Pada pemilihan parti kali ini, Faizal bakal berdepan dengan Timbalan Ketua UMNO bahagian itu, Khairul Azwan Harun.

Khairul Azwan pada PRU15 gagal mempertahankan kerusi berkenaan apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Jamaludin Yahya yang memperoleh majoriti 5,003 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, pemulihan prestasi UMNO di kawasan itu perlu dilakukan bermula daripada jawatankuasa peringkat bahagian.

Katanya, pengalamannya dalam kepimpinan parti bermula dari peringkat cawangan sebelum aktif dalam jentera pemuda dan jawatankuasa bahagian turut memberi kelebihan untuk memahami denyut nadi, kehendak dan aspirasi akar umbi.

"Saya telah berbincang dengan ayahanda terlebih dahulu, bukan sebab beliau ayah, tetapi sebagai mantan Ketua Bahagian yang sudah berpengalaman dalam politik.

"Sama seperti rakan-rakan lain yang berjumpa dengannya meminta pandangan sama ada kita layak bertanding atau tidak, kita mohon pandangan dan bimbingan daripada beliau," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!