Ada yang tidak kena bila anak-anak makin kurang adab
BARU-baru ini kecoh tentang rakaman video yang tular membabitkan dua pelajar lelaki mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Rakaman yang tular di TikTok dan Facebook itu turut memaparkan kenyataan remaja terbabit yang dikatakan menghina Singapura.
Merak Jalanan yang menonton video berkenaan berasa amat terkilan dengan tingkah laku remaja terbabit apatah lagi ketika itu mereka memakai pakaian seragam sekolah. Sudah tentu ia memalukan imej sekolah dan tiada apa yang hendak dibanggakan remaja terbabit.
Ibu bapa juga pasti terpalit dengan reaksi daripada netizen mahupun anggota masyarakat yang lain.
Merak Jalanan tabik dengan tindakan pantas polis yang menahan dua remaja berusia 18 tahun itu selepas menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun pada 24 Februari lalu.
Tindakan tegas di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 itu diharap dapat membuka mata semua pihak kerana adab dalam berbahasa adalah budaya yang sentiasa perlu diterap.
Kisah lain yang turut mengejutkan ialah kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jelebu, Negeri Sembilan atas pertuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak tahun lalu.
Apa yang Merak Jalanan boleh kongsikan ialah tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan adiknya yang berusia 14 tahun yang mana hubungan mereka adalah salah sama sekali mengikut hukum agama dan undang-undang negara.
Sebagai anggota masyarakat, apa yang dapat kita simpulkan mengenai dua kes ini? Semoga semua pihak dapat buka mata seluasnya agar kes sebegini tidak lagi berlaku.
Bersamalah kita membentuk masyarakat yang lebih tinggi ilmu dan budi bahasanya agar negara lebih berkualiti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!