100 hari: Formula Anwar tepis spekulasi politik dendam

Anwar
Anwar
A
A
A

ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat agak berhati-hati dalam melakukan pelantikan jawatan-jawatan utama dalam Kerajaan Perpaduan dalam tempoh 100 hari pentadbiran beliau.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, sepanjang lebih tiga bulan mentadbir negara, Anwar tidak melakukan perubahan drastik yang boleh mengganggu kelancaran perancangan dalam pentadbiran.

Menurutnya, pendekatan Anwar dalam melakukan transisi dilakukan dalam suasana harmoni, tanpa mencipta sebarang kontroversi walaupun beliau berdepan tekanan daripada dalaman parti kerana masih mengekalkan pelantikan pentadbiran terdahulu.

“Formula yang diterapkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) ini dalam pentadbiran wajar dipuji, ia dilakukan secara berhikmah, tanpa ‘mengocak air yang sedia keruh’, itu formula terbaik yang beliau cuba serapkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, tindakan Anwar itu secara tidak langsung dapat melenyapkan persepsi bahawa beliau mengamalkan politik dendam terhadap pemimpin pembangkang.

“Bagi individu yang masih berjawatan pastinya akan berusaha lebih kuat bagi membuktikan mereka sememangnya layak, natijahnya akan menjadikan sistem pentadbiran negara lebih cekap dan padu serta lebih berintegriti.

Menurutnya, ini antara hikmah yang terselindung di sebalik percaturan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Tambun itu.

“Namun mampukah Anwar menjadikan prestasi 100 hari kepada 1,000 hari? Saya gambarkan 1,000 hari kerana dalam tempoh tiga tahun menyamai 36 bulan, tempoh minimum untuk diadakan pilihan raya umum ialah 36 bulan, bermaksud mampukah Anwar kekal sehingga sepenggal,” ujarnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, tidak dinafikan sejak menerajui Kerajaan Perpaduan pada 24 November 2022, Anwar menyerlahkan kemampuannya mengurus negara dengan baik menerusi pelbagai usaha dan strategi.

“Tahniah saya ucapkan, kerana bukan mudah untuk menjadi nakhoda kepada bahtera yang anak-anak kapalnya mempunyai misi dan visi berbeza. Dalam erti kata lain, tidur satu bantal, tetapi mimpi berlainan,” katanya.

Menurutnya lagi, tempoh 100 hari ibarat episod awal perkahwinan, yang mana masih melalui proses mengenali dan memahami antara satu sama lain.

“Boleh dikatakan masih terlalu awal untuk menilai keseluruhan tetapi tempoh berbulan madu sudah tamat. Rakyat perlukan satu keputusan atau prestasi yang boleh dijadikan penilaian,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani tegaskan, untuk memastikan pentadbiran Kerajaan Perpaduan kekal cemerlang, entiti dalam kerajaan harus bergerak sehaluan dan bukan lagi berkiblatkan destinasi berbeza.

“Pada masa sama, kerajaan harus bersikap terbuka, rakyat berhak menegur untuk kebaikan kerana negara ini milik kita bersama,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!