Messi yakin PSG mampu tundukkan Bayern

Messi yakin kemampuan PSG untuk meraih kemenangan di Allianz Arena. -Foto: EPA
Messi yakin kemampuan PSG untuk meraih kemenangan di Allianz Arena. -Foto: EPA
A
A
A

LIONEL Messi sedar harapan Paris Saint Germain (PSG) untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara akan ditentukan oleh beberapa perkara positif yang perlu dilakukan semasa perlawanan menentang Bayern Munich pada Khamis.

Juara Ligue 1 itu bertemu juara Bundesliga pada perlawanan kedua pusingan 16 terakhir di Allianz Arena setelah tewas pada perlawanan pertama 0-1 di halaman sendiri.

Kekalahan kepada Bayern itu menyaksikan PSG tewas tiga perlawanan berturut-turut, namun mereka bertindak balas dengan tiga kemenangan dramatik selepas itu.

Kemenangan tersebut telah membantu menjana momentum menuju perlawanan terbesar mereka musim ini, dan Messi tahu aksi terbaik akan menentukan siapa yang layak ke suku akhir.

"Adalah penting untuk menuju ke perlawanan menentang Bayern Munich dengan cara ini (selepas tiga kemenangan). Sebelum itu, kami tidak berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim ini.

"Saya fikir kami mempunyai kemenangan penting untuk mengukuhkan pasukan apabila kami pergi ke Munich. Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, di mana ia ditentukan oleh perkara-perkara kecil.

"Ia juga amat sukar untuk menang di Munich, tetapi saya rasa kami sudah bersedia dengan baik. Kami mampu mengubah keadaan.

"Saya rasa pasukan telah berubah dalam beberapa perlawanan terakhir. Kami mempunyai wajah berbeza, dinamik berbeza. (Kami mempunyai) harapan besar untuk meneruskan perjalanan kami dalam Liga Juara-Juara.

"Kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk cuba mengubah keadaan menentang Bayern dan melepasi pusingan itu, yang merupakan matlamat semua orang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!