PM adakan sesi interaksi dengan 106 ketua perwakilan diplomatik Malaysia
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi interaksi dengan 106 ketua perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara pada hari ini di Putrajaya.
Sesi interaksi itu bertemakan ‘Diplomasi dalam Dunia Globalisasi dari Lensa Malaysia MADANI’.
Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), sesi interaksi itu merupakan pertemuan pertama Perdana Menteri dengan ketua-ketua perwakilan diplomatik Malaysia.
Sesi itu akan melibatkan duta besar, pesuruhjaya tinggi, wakil tetap, konsul jeneral dan kuasa usaha sementara.
"Ia merupakan satu wadah untuk Perdana Menteri menyampaikan amanat dan aspirasi Kerajaan Perpaduan kepada ketua-ketua perwakilan dalam menjalankan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kepentingan Malaysia di persada antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Sesi itu juga memberi peluang kepada ketua-ketua perwakilan diplomatik untuk berinteraksi dengan Perdana Menteri berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan kepada Malaysia, terutamanya di negara tuan rumah masing-masing. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!