[VIDEO] Anwar ajak pembangkang berunding untuk terima peruntukan

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menolak prinsip untuk memberi peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, namun ia perlu dimulakan dengan proses rundingan.

Menurutnya, ia seperti mana yang dipraktikkan kerajaan ketika bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera).

"Saya tidak pernah mengatakan tidak ada (peruntukan). Sepanjang Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menjadi Perdana Menteri, kita (pembangkang) tak dapat peruntukan. Tapi tak apa, ini Madani maknanya mesti adil.

"Apa yang berlaku semasa kerajaan bawah Bera (Ismail Sabri) tidak mula dengan begitu (sahaja), ia bermula dengan rundingan... rundinglah cara elok dan bincang kaedahnya.

"Saya cadangkan ada proses rundingan. Pada prinsipnya saya tidak menolak prinsip memberi peruntukan kepada pembangkang seperti mana yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan dan ini pendirian saya dari dulu tapi proses rundingan belum berlaku, yang ada proses permusuhan," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang membangkitkan mengenai peruntukan kepada pembangkang yang dijanjikan Anwar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, beliau tidak mahu mewujudkan sebarang unsur pergaduhan antara kerajaan dan pembangkang.

Justeru, katanya, proses rundingan wajar dilaksanakan segera membolehkan peruntukan disalurkan segera.

"Saya akan tanya bagaimana Kedah, Perlis, Kelantan juga Terengganu... kalau ada persefahaman itu, boleh la jalan (berikan peruntukan).

"Jadi mulakan proses rundingan, kalau cepat selesai, cepat lulus. Kalau selesai (rundingan) esok, lusa kita lulus," katanya.