Tahan reman Bendahari Bersatu untuk bantu siasatan - SPRM

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan tahan reman Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Salleh Bajuri adalah untuk membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sebagai agensi penguatkuasa perlu mengikut peraturan dan undang-undang.

"Saya telah menyerahkan kepada pegawai penyiasat SPRM untuk menjalankan tugas, mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis tandatangan persefahaman antara SPRM, Universiti Teknologi Malaysia Mara dan Institut Akauntan Malaysia, di sini, pada Selasa.

Azam berkata, tahanan reman itu adalah keperluan dan kehendak siasatan ketika itu.

"Ini adalah satu kuasa budi bicara yang digunakan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian kes berkenaan," katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipetik berkata, menyifatkan SPRM tiada sebab munasabah untuk memohon penahanan reman terhadap Salleh atas alasan siasatan.

Justeru itu, katanya, Bersatu berpendirian bahawa tahanan reman ke atas Salleh adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin parti itu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.

Hamzah berkata, penyata kewangan parti itu juga diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam Persidangan Agung Tahunan.

Salleh ditahan reman selama dua hari oleh SPRM bermula Khamis lalu hingga Jumaat selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Rabu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.

Terdahulu, SPRM pada Januari dilapor membekukan beberapa akaun milik Bersatu susulan siasatan kes itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!