'Semua pihak perlu akur larangan ahli politik beri kuliah di masjid'
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu menghormati dan akur terhadap arahan pihak berkuasa agama negeri mengenai larangan ahli politik menyampaikan kuliah atau ceramah politik di masjid dan surau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika ditemui media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini berkata, soal kebenaran memberi kuliah atau ceramah itu adalah terpakai kepada semua pihak termasuk dirinya.
Menurutnya, beliau akan mengelak untuk memberikan tazkirah atau ceramah di masjid, jika dijemput bagi menghormati larangan tersebut.
"Dalam menghormati arahan, saya mengelak (beri tazkirah atau ceramah) apabila singgah di masjid setiap Jumaat untuk bersolat dan hanya bersalaman serta beramah mesra dengan para jemaah yang ada," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 4 Mac lepas yang menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau, sebaliknya menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.
Sementara itu mengulas kenyataan Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bahawa PN berhak merancang merampas kerajaan, Anwar berkata, ia adalah naratif Abdul Hadi.
Semalam Abdul Hadi dilaporkan berkata, usaha merampas kerajaan daripada parti memerintah perkara biasa dalam politik, sama ada menerusi undi tidak percaya, akuan berkanun atau penyokong kerajaan berpaling tadah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!