Nusantara: 10 syarikat Malaysia berminat melabur - Anwar
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sekurang-kurangnya 10 syarikat besar negara sedang meneliti kemungkinan untuk melabur secara besar-besaran di dalam projek pembinaan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur yang dinamakan, Nusantara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini, menyaksikan sembilan syarikat besar dari Semenanjung dan satu dari Sarawak masuk untuk mengkaji dan meneliti kemungkinan pelaburan berkenaan.
"Dengan rundingan kita bersama kerajaan Indonesia baru-baru ini, beberapa syarikat lain juga terlibat, TNB (Tenaga Nasional Berhad), Telekom (Telekom Malaysia Berhad), sekurang-kurangnya 10 syarikat.
"Tapi dalam hal ini saya beritahu Premier Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) kerana Sarawak lebih dekat dan mendahului, jadi ia akan diselaraskan bersama kerajaan Sarawak supaya lebih bermanfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) mengenai sejauh mana penglibatan syarikat Malaysia dalam pembinaan ibu negara baharu Indonesia dan juga kawasan industri di Kalimantan, pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga pada masa sama sedang meneliti kemungkinan jalinan kerjasama melibatkan universiti, golongan belia, badan Islam, kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan di kawasan terlibat.
"Belum ada perancangan lebih aktif, tetapi saya percaya berdasarkan perkembangan pertumbuhan dan penyediaan IKN Nusantara itu maka harus kita teliti kemungkinan kerjasama itu," katanya.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai persediaan kerajaan untuk keterlibatan masyarakat di Sabah dan Sarawak dengan pembangunan di Nusantara selaku ibu negara baharu Indonesia.
Perdana Menteri berkata, sinergi kerjasama antara Malaysia dan Indonesia berkait pembangunan ibu negara baharu Indonesia itu akan menguntungkan kedua-dua negara.
"Jokowi (Presiden Indonesia) juga maklum pada saya di antara negara ASEAN, Malaysia antara yang terkedepan dan aktif dalam kerjasama ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!