Misi bantuan Aid4Turkiye&Syria tertumpu pula di selatan Turkiye, Utara Syria
SEPANG - Pasukan ketiga misi bantuan Sekretariat Aid4Turkiye&Syria yang diketuai oleh PASRelief dengan kerjasama 39 NGO telah berlepas ke Turkiye dan Syria, semalam bagi terus memantu mangsa-mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.
Pasukan kali diketuai oleh Dr Suhazeli Abdullah, Timbalan Pengarah 1 PASRelief merangkap Setiausaha Sekretariat Aid4Turkiye&Syria dan sebelum ini sudah berjaya menghantar beberapa bantuan kemanusiaan yang telah pun turun ke lapangan sejak dari awal gempa bumi lagi.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pasukan itu berlepas, memuji semangat kebersamaan rakyat Malaysia terutamanya sukarelawan daripada Aid4Turkiye&Syria yang bertungkus lumus menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa bencana alam itu.
“Saya mengucapkan selamat berangkat kepada misi bantuan gempa bumi berkenaan. Saya mendapat maklum bahawa jumlah kematian telah mencecah lebih dari 51,000 dan kecederaan lebih dari 128,000 mangsa di kedua-dua negara tersebut. Manakala 80 peratus bangunan hancur musnah.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa gempa bumi di sana. Sesungguhnya segala sumbangan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia adalah satu tanda keprihatinan kita bersama umat Islam yang ditimpa musibah,” katanya.
Menurut kenyataan Sekretariat Aid4Turkiye&Syria, bantuan awal telah pun sampai ke sasaran seperti makanan, pakaian musim sejuk dan khemah separa kekal yang telah menelan belanja sebanyak lebih dari RM600,000.
Manakala pasukan kali ini akan membawa bantuan untuk sumbangan pakaian di musim sejuk dan juga makanan kepada mangsa bencana terutama sekali di selatan Turkiye dan Utara Syria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!