Kantoi sorok 7,140kg minyak masak peket tepi rumah
PASIR MAS - Tindakan seorang lelaki menyorok 7,140 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi di tepi rumah terbongkar selepas diserbu sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pasir Mas di Kampung Jal Kechik, Tumpat dekat sini pada Isnin.
Dalam serbuan jam 4.30 petang itu seorang lelaki berusia 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Pasir Mas, Suhaimi Abas berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan anggota telah mengesan sebuah rumah yang dipercayai menyimpan dan memiliki barang kawalan tersebut.
"Pemeriksaan lanjut di kawasan tepi rumah berkenaan telah menjumpai minyak masak peket 1kg bersubsidi yang disimpan di tepi rumah tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut beliau, nilai rampasan dan anggaran barangan bersubsidi itu dianggarkan berjumlah RM17,860.
Ujarnya, kes tersebut disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Suhaimi memberitahu, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini akan berdepan tindakan tegas.
"Dalam masa yang sama juga kita sentiasa mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan pemantauan rondaan pencegahan penyelewengan subsidi di sempadan negara dari masa ke semasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!