Neymar enggan patah semangat

Neymar menggunakan tongkat ketika menyaksikan PSG beraksi menentang Nantes di Stadium Parc des Princes, Paris Ahad lalu. Foto AFP
Neymar menggunakan tongkat ketika menyaksikan PSG beraksi menentang Nantes di Stadium Parc des Princes, Paris Ahad lalu. Foto AFP
A
A
A

PEMAIN sensasi, Neymar enggan berasa lemah semangat setelah terpaksa disisihkan sehingga empat bulan kerana akan menjalani pembedahan buku lali di Qatar dalam tempoh terdekat.

Sebaliknya pemain Brazil itu akan kembali dengan lebih bersemangat setelah pulih daripada kecederaan dan melalui proses pemulihan kelak.

“Saya akan kembali lebih kuat,” katanya.

Paris Saint-Germain (PSG) dalam satu kenyataan awal pagi Selasa memaklumkan mengenai kecederaan yang dialami pemain berusia 31 tahun itu.

“Neymar Jr telah beberapa kali mengadu mengenai masalah buku lali kanannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Selepas terseliuh pada 20 Februari, kakitangan perubatan PSG mengesyorkan pembedahan untuk memulihkan ligamennya bagi mengelak risiko besar berulang.

“Semua pakar yang dirujuk telah mengesahkan keperluan ini,” ujar kenyataan itu.

Pembedahan itu dijadualkan dilakukan dalam beberapa hari akan datang di Hospital ASPETAR, Doha.

“Dia dijangka berehat selama tiga ke empat bulan sebelum kembali menjalani latihan kolektif,” tambah kenyataan itu.

Musim Ligue 1 akan berakhir pada 3 Jun dan final Liga Juara-Juara Eropah, jika PSG berjaya mara akan berlangsung seminggu kemudian di Istanbul.

PSG yang masih menanti kejuaraan sulung Eropah itu, perlu mengatasi defisit 1-0 apabila bertandang ke Jerman menentang Bayern Munich pada aksi timbal balik kelompok 16 terakhir awal pagi Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!