'Bukan mahu jadi calon PRN, hanya bantu kukuhkan parti'
ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak berhasrat untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, kemunculan semula bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar adalah untuk membantu mengukuhkan UMNO, bukannya merebut jawatan dengan sesiapa.
Menurutnya, hasrat kembali aktif dalam politik untuk memulihkan UMNO Bahagian Alor Setar selepas berlaku kekosongan jawatan Ketua Bahagian, bukannya untuk kembali menjadi wakil rakyat.
“Pendirian saya jelas dalam hal ini, saya bukan sasarkan kerusi DUN untuk jadi calon, bukan itu hasrat saya kembali. Saya hanya mahu bantu rakan-rakan dalam UMNO bina semula parti selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Ahmad Bashah berharap penjelasan ini dapat menepis spekulasi kononnya kemunculan semula beliau adalah untuk bertanding kerusi DUN selepas menawarkan diri dalam pemilihan parti di peringkat negeri.
“Tak perlu (bertanding PRN), ramai lagi calon muka baharu yang berpotensi diketengahkan. Isu (calon PRN) lebih sesuai dibarisi calon muda yang juga pelapis kepimpinan dalam parti.
“Saya terima hakikat, saya kalah dalam pilihan raya lepas, saya bukan tamak. Saya akan terus bekerja bantu parti,” katanya.
Ahmad Bashah yang merupakan penyandang Ketua UMNO Bahagian Alor Setar sebelum diambil alih Datuk Mohd Yusof Ismail, membuat keputusan itu selepas Mohd Yusof digantung keahlian selama enam tahun sejak tahun lalu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata itu jelaskan, keutamaan kini adalah untuk bersama kepimpinan bahagian mahupun negeri untuk pulihkan UMNO.
“Saya sedia berikan pandangan jika diperlukan. Saya kembali tawar diri bertanding pemilihan untuk menyumbang kepada parti harmonikan semua peringkat dan sama-sama bina semula parti.
“Harus diingat, UMNO kalah dalam PRU lepas disebabkan pengundi muda, kita perlu mantapkan semula gerak kerja peringkat Pemuda UMNO dan sayap Puteri menerusi program yang dapat menarik minat mereka kepada parti. Kita harus bangkit semula dengan segera,” ujarnya.
Beliau berkata, biarpun ‘berehat’ seketika daripada politik sebelum ini, jiwanya tetap subur bersama UMNO dan sentiasa mengikuti perkembangan dalam parti.
“Saya hanya tinggalkan jawatan, bukan parti. Jiwa politik saya tetap subur walaupun berehat seketika.
“Saya aktif di belakang tabir seperti perjumpaan dengan persatuan veteran UMNO, turun padang berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor dan Melaka, aktiviti parti saya tetap sertai,” ujarnya.
Ahmad Bashah berharap pasukan yang dibentuk selepas pemilihan berakhir akan menjadi satu pasukan yang kuat untuk berdepan PRU akan datang.
“Kita tak boleh lagi ada banyak kem dalam parti, hanya satu pasukan UMNO yang bersatu, tak boleh lagi berpecah. Sekiranya wujud dua kem, parti akan binasa.
“Mereka yang tidak setia tak boleh bersama, ini bertepatan dengan slogan UMNO, iaitu bersatu setia dan berkhidmat. Slogan itu mempunyai pengertian yang kuat untuk dihayati setiap ahlinya,” tegasnya.
Menurutnya, atas semangat kesatuan itulah, UMNO mampu bertahan sehingga lebih 60 tahun.
“Kesetiaan itu penting, keputusan parti harus dipatuhi, mereka yang tidak patuh arahan parti bermakna mereka tidak menghayati slogan parti.
“Walaupun ada parti cuba pujuk saya sertai mereka, saya tetap setia bersama UMNO sebab sayangkan parti. Pada usia 73 tahun, bukan jawatan yang dikejar, hanya mahu melihat UMNO kembali kukuh bawah gandingan pemimpin lama dan baharu,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN, Ahmad Bashah berharap ia diperkukuhkan bagi mencapai sasaran yang sama, iaitu memenangi pilihan raya.
“Perkongsian dalam Kerajaan Perpaduan perlu sepakat, khususnya pembahagian kerusi, selepas capai persetujuan semua perlu bekerja secara bersama,” katanya.
Pada Mei 2018, Ahmad Bashah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Kedah dan Pengerusi BN negeri selepas parti itu kalah teruk dalam PRU14, hanya menang tiga daripada 36 kerusi DUN.
Ahmad Bashah turut kehilangan kerusi disandangnya selama lima penggal di DUN Suka Menanti, yang sebelum ini dikenali Bakar Bata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!