Bot nelayan gaji pekerja asing ditahan
GEORGETOWN - Lapan nelayan warga asing ditahan bersama dua buah bot nelayan tempatan dalam dua serbuan berbeza oleh sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dalam Op Pertiwi dan Op Tanjung pada Isnin.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot pertama ditahan pada kedudukan 16.5 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 10.41 pagi.
Menurutnya, tiga nelayan Thailand dan seorang nelayan Myanmar berusia lingkungan 23 hingga 63 tahun ditahan ketika pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan kelas C tersebut.
"Pemeriksaan mendapati, bot tersebut berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak namun dikendalikan tiga nelayan asing termasuk tekong bot. Dua antara nelayan tersebut gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta menggajikan kru warga asing.
"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kata beliau, bot kedua iaitu bot kelas A dibuat pada kedudukan 0.61 batu nautika tenggara Gertak Sanggul pada jam 10.20 malam.
"Bot nelayan tersebut yang berpangkalan di Jeti Teluk Kumbar dikendalikan oleh empat nelayan warga tempatan berusia antara 18 hingga 51 tahun. Mereka ini ditahan kerana gagal mempamerkan lesen dan bot tidak diusahakan sendiri pemiliknya.
"Oleh itu, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985. Kita turut merampas 500 kilogram hasil tangkapan daripada bot pertama manakala lima kilogram daripada bot kedua. Kedua-dua bot dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung dan Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya lagi, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.
"Kita mendapati, masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggajikan pendatang asing untuk bekerja menggunakan bot mereka walaupun amaran dan tangkapan telah dibuat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!