Tular surat dakwa usul 2 jawatan tertinggi tak dipertanding tak sah
SHAH ALAM - Tular satu surat mendakwa keputusan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan akan datang adalah tidak sah.
Surat dengan kepala surat (letterhead) Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) itu didakwa diutuskan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada 2 Mac lalu.
Surat berkenaan memaklumkan, RoS telah meneliti secara terperinci permohonan pindaan Usul Tambahan (Usul Kelapan) ke atas Usul Ucapan Dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menetapkan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dengan mengambil kira dasar UMNO yang berkuat kuasa.
Menurutnya, berdasarkan semakan maklumat dan dokumentasi yang dikemukakan bersama surat bertarikh 27 Januari, 2 Februari dan 14 Februari lalu, jabatan itu mendapati usul tambahan tersebut adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.
“Justeru, dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Pendaftar Pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] maka, keputusan usul tambahan Ucapan Dasar Presiden di PAU 2022 jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada penggal pemilihan parti akan datang adalah tidak sah.
“Sehubungan itu, UMNO hendaklah mengambil tindakan pembetulan dengan tidak mengetepikan Perlembagaan UMNO di bawah Fasal 9.3 dalam pelaksanaan Pemilihan Majlis Tertinggi parti,” katanya.
Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan RoS telah meluluskan usul tambahan tersebut dan sudah pun menerima surat daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai keputusan itu.
Ahmad Zahid menjelaskan, melalui surat itu, Saifuddin Nasution telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan kepada Seksyen 13(1)(c)(14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta agar Ahmad Zahid mendedahkan surat daripada RoS yang didakwa meluluskan resolusi itu.
Menurut Ismail Sabri, Timbalan Perdana Menteri itu perlu menjelaskan perkara tersebut kerana terdapat laporan media yang bercanggah mengenai kandungan surat berkenaan.
Bekas Perdana Menteri itu juga sebelum ini memberitahu, beliau tidak mempertahankan jawatan sebagai naib presiden kerana percaya keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi UMNO itu tidak selaras dengan perlembagaan parti.
Untuk makluman, Sinar Harian sedang mendapatkan respon daripada RoS berhubung perkara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!