Puteri Umno akui ini semua dugaan selepas hilang kuasa
SHAH ALAM - Tindakan pemimpin tertinggi Umno di Sabah keluar parti secara beramai-ramai adalah amat menyedihkan.
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Zahida Zarik Khan berkata, inilah cabaran serta dugaan yang terpaksa dihadapi selaku parti yang kalah dan hilang kuasa.
Menurutnya, mungkin pada mereka tindakan keluar daripada perjuangan parti adalah keputusan terbaik.
“Kita harus berlapang dada dan hormati keputusan penghijrahan beramai ramai di Sabah.
“Pemimpin datang dan pergi, Umno Sabah melalui kepimpinan baru dan akar umbi harus teruskan perjuangan membela rakyat. Sejarah telah membuktikan Umno telah banyak berjasa dan berjaya membawa perubahan sejak mula bertapak pada 1991,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, beliau berharap dan memohon kepada rakan-rakan yang masih bersetia dalam perjuangan agar bertenang.
Katanya, kuatkan semangat dalam bersama untuk terus kukuhkan 'rumah Umno' yang disayangi ini.
“Kami di semenanjung sentiasa mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan di Sabah, apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya, kita ambil ia sebagai satu motivasi untuk lakukan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!